Mampukah UMNO bangkit bagaikan helang?
ARTIKEL ini saya tulis selepas selesai perhimpunan agung UMNO pada 2017, iaitu ketika parti berkenaan masih berkuasa tetapi isyarat rakyat menolaknya makin jelas.
Naib presiden ketika itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memberi amaran tentang kemungkinan kekalahan yang bakal dihadapi, tetapi nampaknya ia tidak dipercayai oleh kebanyakan para pemimpin UMNO dan ahli di akar umbi.
Apabila saya memberi bacaan akan kalah saya dimarah dengan teruk, bahkan bos-bos di Utusan juga sangat yakin menang dengan dua pertiga.
Semoga selepas kekalahan dan perpecahan di dalam parti dan godaan di luar parti akan menjadi parti yang lebih mantap ditambah pula dengan rakan sekutu yang baharu iaitu Pas.
Jika dahulu bendera bulan penuh berwarna hijau putih paling dibenci, tetapi mereka perlu belajar mengasihinya kerana gandingan ini sahaja yang akan dapat memacu kebangkitan parti berkenaan sebagaimana telah dibuktikan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai yang mencatatkan kemenangan besar lagi luar biasa.
Keutuhan kerjasama itu setakat sehingga para pemimpin gagasan yang baru ditubuhkan iaitu Muafakat Nasional berani bereksperimen meletakkan calon MCA semata-mata untuk membuktikan gagasan itu bukan bersifat rasis. Terbukti ia diterima dengan baik oleh rakyat.
Pada masa yang sama jagalah ahli-ahli yang ada janganlah dibiar mereka menjeruk hati kerana terpinggir bagaikan yatim piatu. Janganlah terlalu mendiamkan diri dan menyepi diri hingga dianggap sengaja melarikan diri daripada tanggungjawab yang harus dipikul apabila dipilih sebagai pemimpin parti dan wakil rakyat.
Senjata pembangkang ialah bersuara. Jika tidak bersuara maka mereka akan lenyap. Bagaimanapun janganlah menjadi pembangkang seperti kerajaan hari ini ketika mereka menduduki kerusi pembangkang. Biarlah setiap bangkangan disertai dengan fakta dan hujah yang mantap.
Setakat ini Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan mereka sentiasa tampil dengan kritikan berasaskan fakta dan bukan mencari publisiti murahan atau hanya berdasarkan cakap-cakap sahaja.
Berikut tulisan saya yang dituang ke Facebook saya pada 2017
SAYA terbaca kisah burung helang yang melalui dua fasa kehidupan. Apabila berusia sekitar 40 tahun unggas itu akan mengalami kemerosotan hidup, bulu-bulu mula tanggal dan jika tidak mendapat makan dan zat yang cukup akan membawa maut.
Bagaimanapun jika ia melepasi fasa itu, maka helang akan menjadi bertambah kuat dan hebat.
Proses yang sama saya rasakan berlaku kepada UMNO. Ada pemimpin yang keluar dan menubuhkan parti serpihan hanya kerana kemelut kepentingan peribadi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti itu sendiri kelihatan tergugat pada mulanya, tetapi beliau terus bertahan dan kini semakin kukuh. Disokong pula oleh Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Lulusnya usul secara sebulat suara oleh perwakilan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding jelas menunjukkan gandingan yang tidak ada tanding kesepakatannya.
Sokongan padu ahli adalah zat yang menyuntik kembali kesegaran dan kebugaran UMNO. Perpaduan pucuk pimpinan memperkukuh otot-otot dan kuku helang. Tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang tumbuh mantap menebar sayap, melebar kekuatan UMNO.
Ternyata UMNO semakin kuat dalam menghadapi perubahan lanskap politik negara yang didominasi oleh ledakan media sosial menjadi senjata utama.
Kaedah berkhidmat untuk rakyat juga telah diterjemahkan dan didifinisi semula oleh anak-anak muda khususnya di bandar. Hipster bukan sahaja gaya hidup, tetapi telah diyakini sebagai satu bentuk pemikiran hingga mempengaruhi fahaman politik.
Gaya jambang dan rambut, sajian di gerai makan dan trak makanan segala-galanya hipster menunjukkan situasi itu nyata dan harus difahami oleh orang politik kerana pilihan raya kali ini majoriti pengundi adalah golongan muda.
Apatah lagi tidak sampai 30 peratus penduduk Malaysia yang mengakses maklumat melalui media tradisional.
Majoriti mendapatkan maklumat di hujung jari sahaja.
Presiden sendiri mahukan ahli UMNO menjuarai perang siber dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin paling ke hadapan ketika berucap kerana lengkap dengan segala fakta dan data.
Masyarakat kini mementingkan data dan fakta kerana asas pendidikan yang dimiliki semakin tinggi dan juga ia hasil usaha kerajaan juga.
Hanya dengan data sahaja semua dakyah dan persepsi negatif dapat dipatah.
Data yang ada perlu digunakan dan perlu disebar. Jangan pula hanya taksub mengumpul data untuk menyedapkan hati sendiri hingga pandangan kabur serta gagal memahami atau tidak peka dengan persekitaran.
Janganlah terlalu asyik pula menyusun strategi kononnya data yang ada di tangan jelas parti mampu menang mudah dengan andaian keadaan parti dalam kedudukan sempurna.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya juga tidak akan banyak membantu dan dalam keadaan tertentu mempunyai kesan yang negatif kerana pihak lawan juga mempunyai strategi mereka yang tersendiri.
Kerap turun ke lapangan tetap formula terbaik. Dalam hal ini calon payung terjun bukanlah pilihan yang mempunyai kelebihan kerana mereka tidak mempunyai masa untuk bekerja untuk masyarakat.
Kelebihan tetap ahli politik yang sentiasa bersama pengundinya dalam apa juga keadaan.
Jika sebelum ini orang politik hanya perlu kelihatan bersih sudah cukup untuk menambat hati pengundi, kini ia perlu lebih daripada itu.
Setiap gerak kerja harus menjadi satu gerakan masyarakat dan dengan pantas ia disahut oleh netizen yang sebahagian besar menghargai kerja-kerja sukarelawan dan kebersamaan.
Kuku, paruh dan sayap helang sudah pulih. Ahli UMNO perlu yakin dan bangkit. Mereka bukan burung botak yang sudah dihurung lalat dan ulat menunggu masa untuk mati, tetapi helang yang gagah menguasai kembali politik di semua persada. PENUTUP #PAU2017