FoodBank Ebit Lew: Ambil sebab perlu, bukan sebab percuma
Pengikut Instagram pendakwah selebriti, Ebit Lew memberi peringatan kepada orang ramai supaya mengambil barangan jika memerlukan sahaja di FoodBank yang terletak di Elewsmart.
Malah, ada juga pengikut yang berharap supaya orang ramai tidak mengambil kesempatan dengan mengambil barangan asas tersebut hanya kerana ianya percuma.
FoodBank yang diletakkan Ebit Lew disetiap pasar raya miliknya adalah sesuatu yang sudah dihajatinya ketika mula membuka premis perniagaan itu.
“Inilah antara niat saya mula-mula dulu buka Elewsmart. Ingin cawangan Elewsmart di setiap tempat ada FoodBank.
“Mereka yang benar perlu boleh ambil sahaja secara percuma. Tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Menurut Ebit lagi, mereka yang ingin bersedekah juga boleh berbuat demikian dengan meninggalkan sahaja barangan asas di rak berkenaan.
FoodBank itu juga jelas Ebit sentiasa mengingatkan sewaktu kehidupannya berada dalam keadaan sukar satu ketika dahulu.
“Saya ingat dulu selalu tiada duit nak makan. Semua gaji saya niat untuk beri dekat mak ayah di kampung.
“Sebab masa tu keluarga susah. Pernah sekali masa kerja orang selit rm2 dalam poket. Gembira sangat rasa. Sebab boleh makan nasi,” katanya.
Pengikut media sosial Ebit juga turut kagum dengan tindakannya yang sentiasa memberi walaupun sudah diduga sebelum ini selepas sebuah dari cawangan Elewsmart di rompak di Sungai Buloh, bulan lalu. -SM