Politik

12 tahun SAPP sebagai pembangkang berakhir

PARTI Progresif Sabah (SAPP) menamatkan peranan selama 12 tahun sebagai pembangkang apabila Majlis Tertingginya bersetuju menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Parti berkenaan berbuat demikian selepas ahli Majlis Tertingginya yang bermesyuarat pada 9 Ogos lalu mencapai kesepakatan untuk menyertai PN.

Mereka berbuat demikian selepas merasakan pendekatan dan amalan dasar oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersesuaian dengan SAPP.

Ia termasuklah hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga kemelut yang ditimbulkan ahli politik Filipina berhubung perebutan ke atas Sabah.

“Selepas 12 tahun menjadi parti pembangkang di peringkat nasional dan negeri.

“Esok merupakan permulaan baharu bagi SAPP dan ahli setia yang berjuang mendahului kepentingan diri bagi mendapatkan hak-hak Sabah di Malaysia.

“SAPP melihat betapa tenang dan efektifnya kepimpinan Muhyiddin Yassin.

“Beliau berjaya membawa kembali keharmonian dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbiran Malaysia.

“Justeru SAPP percaya PN dapat menyelamatkan negeri Sabah dan Malaysia daripada tuntutan Filipina atau Sulu ke atas Sabah.”

Demikian kenyataan yang dikeluarkan SAPP dalam Facebooknya semalam.

Penyertaan SAPP dalam PN dijangka dapat mengukuhkan lagi sokongan terhadap parti kerajaan terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

PRN Sabah dijadualkan berlangsung pada 26 September ini selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu.

Kata kenyataan itu lagi, kerajaan PN dikatakan melihat kepentingan MA63 apabila melantik seorang menteri persekutuan dari Sabah yang bertanggungjawab atas perjanjian tersebut.

“SAPP juga melihat pematuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh dicapai seperti diumumkan oleh Muhyiddin pada Mac tahun ini.

“Beliau mengumumkan barisan baharu Kabinet Persekutuan dengan perdana menteri menugaskan seorang menteri persekutuan, yang berasal dari Sabah.

“Dengan penyertaan sebagai ahli PN juga memberi ruang kepada SAPP untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di bawah kepimpinan Perdana Menteri.

“Ia diyakini dapat membangunkan masyarakat yang lebih progresif,” ujarnya. – SM.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button