Politik

Politik sentimen perkauman menebal tidak lagi sesuai

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan politik dan sentimen perkauman yang tebal sudah tidak sesuai dalam politik Malaysia.

Annuar mengeluarkan komen tersebut terhadap laporan berita gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri UMNO keluar dari Kabinet.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk membuka pintu keahlian partinya kepada bukan Melayu.

“Politik dan sentimen perkauman yang tebal sudah tak sesuai dalam politik Malaysia.

“Saya tak pasti apakah benar ini kenyataan Ku Li. Jika benar,ia hanya pendapat peribadi.Yang pasti,dasar UMNO tidak mencampuri dasar dalaman parti sahabat.

“UMNO dan PAS juga ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam. Piagam Muafakat Nasional dengan jelas menjunjung kepelbagaian kaum dlm mkat majmuk,” kata Annuar dalam ciapannya di Twitter.

Tengku Razaleigh semalam mengeluarkan kenyataan menggemparkan, apabila meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, berkata pengumuman BERSATU dengan sendirinya menghilangkan kelayakan parti itu sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung Muafakat Nasional.

 

“Kita, UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan diumumkan oleh BERSATU, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seramai sembilan Ahli Parlimen dari UMNO berada dalam Kabinet PN sekarang iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa;

Juga berada dalam Kabinet adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut menjadi anggota pentadbiran kerajaan ialah tujuh anggota Parlimen dari UMNO iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Mutalib; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainal Abidin.-SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button