SKMM denda Astro siar dokumentari Al-Jazeera mengenai Altantuya
Penyedia televisyen satelit, Astro didenda oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak RM4,000 kerana menyiarkan dokumentari mengenai pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Notis tersebut dihantar kepada Measat pada 7 Julai, hampir lima tahun selepas dokumentari bertajuk “Murder In Malaysia” itu ditayangkan pada 11 September 2015 di saluran Al-Jazeera melalui program 101 East.
Memetik laporan Malaysiakini, SKMM berkata kompaun kepada penyedia televisyen satelit dibuat kerana menyiarkan kandungan yang jelik dan melanggar Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut, Suruhanjaya itu, siasatan terhadap dokumentari itu telah dimulakan berikutan aduan orang ramai.
SKMM berkata Astro didapati bersalah kerana menyiarkan dokumentari itu yang “jelik”, dengan niat untuk menyinggung perasaan pihak yang berkaitan.
Oleh itu, syarikat itu didenda RM1,000 untuk setiap kali episod itu disiarkan, yang berjumlah RM4,000. Astro mempunyai masa selama 30 hari untuk membuat rayuan terhadap kompaun tersebut.
- Dokumentari Al Jazeera ada unsur-unsur hasutan
- MP PKR kesal tekanan terhadap Al Jazeera, media
- Pengendali, wartawan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman minggu ini
Program 101 East Al Jazeera turut menimbulkan kekecohan di Malaysia baru-baru ini apabila menyiarkan dokumentari yang disifatkan sebagai tidak tepat mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap warga asing ketika Malaysia berhadapan pandemik Covid-19.
Pengendali dan wartawan program itu telahpun dipanggil minggu oleh pihak polis bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Laporan dokumentari Al Jazera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mendatangkan kemarahan rakyat Malaysia apabila menuduh negara ini melayan pelarian asing tanpa izin secara zalim ketika penguatkuasaan Printah Kawalan Pergerakan.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Ismail Sabri Yaakob mencabar stesyen televisyen asing itu agar menamakan negara yang melayan pendatang asing tanpa izin dengan baik.
“Tuduhan kita mengurung pendatang asing tanpa izin (PATI) juga tidak benar kerana Maahad Tahfiz, perkampungan di Hulu Langat juga dikenakan perintah berkurung.
“Kita boleh tanya Al Jazeera ini, berikan kita mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak ada dokumen.
“Jawapannya tidak ada kerana semua negara ada akta yang hampir sama dan semua warga asing yang masuk kena ada dokumen yang sah.
“Saya cabar Al Jazeera tunjukkan mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada mereka yang tidak ada dokumen,” katanya dalam sidang media PKPP di Putrajaya.-SM