Tak Ada Yang Tak Bisa mampu jadi karya teragung
TAYTB ciptaan Faizal Lubis, kolaborasi penyanyi Malaysia-Indonesia
FAIZAL Lubis satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Indonesia. Beliau merupakan seorang komposer dan pernah diundang sebagai pemain keyboard kumpulan Noah dan Radja.
Kanvas seni yang dilakar oleh Faizal turut tercatat kerja-kerja susunan lagu di dalam album kumpulan Alexa.
Hari ini, Faizal menerusi Fabis Studio Indonesia berkolaborasi dengan Life Records menghasilkan single pertama berjudul Tak Ada Yang Tak Bisa (TAYTB).
https://www.youtube.com/watch?v=EMtWx08WtWg
Manakala Goodsound Music Publishing Sdn. Bhd., pula berperanan menjaga hak karya cipta TAYTB di seluruh dunia kecuali Indonesia.
Berkonsepkan pop kemanusiaan, TAYTB terhasil atas dasar musibah yang melanda seluruh dunia akibat penularan wabak Covid-19.
Mengimbas kembali detik penghasilan TAYTB, kata Faizal Lubis, proses rakaman dilakukan sejak lima bulan yang lalu. Pada ketika itu, kata Faizal Lubis, rakaman vokal dilakukan oleh semua bintang Aletta Stars.
Daripada kesemua vokal yang terbabit dalam proses rakaman, hanya tiga orang sahaja yang terpilih iaitu vokal Thia, Fikri dan Stevani kerana mereka adalah tiga pilihan terbaik, kata Faizal Lubis secara berterus terang.
Menurut beliau lagi, sebenarnya lagu TAYTB sepatutnya menjadi single kedua untuk album Aletta Stars.
“Namun, ia ditukar kepada konsep pop kemanusiaan di mana idea menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia untuk projek ini tercetus melalui hasil perbincangan beberapa pihak.
“Semestinya perbincangan membabitkan komposer sendiri dan pengasas Fabis Studio serta wakil Life Records, Osman Arrifin,” kata Faizal dalam satu kenyataan yang diedarkan oleh Life Records.
Selepas perbincangan dan kata persetujuan dicapai, maka TAYTB menggabungkan artis-artis dari dua negara – Malaysia dan Indonesia.
Kolaborasi yang terjalin antara artis-artis di bawah naungan Life Records ialah Aweera Pelita Lusoh dan Azlan Typewriter.
Selain daripada Thia, Fikri dan Stevani, turut serta dalam kolaborasi ini ialah dua artis veteran Indonesia iaitu seniman Rafli Kande dan Edo Kondologit.
Menurut Faizal Lubis lagi, sebahagian daripada hasil jualan digital TAYTB akan disumbangkan kepada dana tabung Covid-19 untuk pembelian Alat Pelindung Diri (APD) untuk kakitangan perubatan dan mereka yang terlibat dalam usaha membasmi pandemik Covid-19.
Sementara itu, Osman Ariffin pula berkata, projek pop kemanusiaan melalui ini merupakan satu kolaborasi penghormatan bukan hanya antara pemuzik dan industri muzik, malahan kerjasama antara negara.
Beliau berkata, kerjasama itu juga turut memperlihatkan keprihatinan industri muzik tentang pandemik yang dihadapi oleh seluruh dunia.
“Single TAYTB bukan sahaja diedarkan di Indonesia tetapi juga edaran secara digital akan memasuki pasaran Singapura, Brunei, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun serta Malaysia,” ujar Osman.
Segala usaha para artis yang terlibat dalam menjayakan TAYTB ini mengharapkan niat murni mereka dihargai oleh para peminat terutamanya kalangan penggemar muzik tanah air dan seberang.
“Kita mengharapkan TAYTB menjadi pilihan halwa telinga penggemar muzik di peringkat antarabangsa dan menjadi salah sebuah karya teragung buat selamanya,” kata Osman dalam kenyataan yang sama. – SM