Politik

‘Tak pernah sekalipun saya tawar Shafie jawatan TPM’

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menafikan pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Safie Apdal.

Muhyiddin berkata, kenyataan Ketua Menteri Sabah itu dalam wawancara bersama Malaysiakini yang mendakwa beliau menawarkan jawatan tersebut selepas menjadi Perdana Menteri adalah tidak benar.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau pada bulan Mac selepas saya menjadi Perdana Menteri seperti yang didakwa.

“Saya menyifatkan kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal dalam wawancara sama yang menyatakan,”Beliau tidak menyebutnya tetapi saya tahu mengenai hal itu” sebagai tidak benar. Kenyataan itu adalah andaian beliau semata-mata,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Dalam laporan yang disiarkan pada 14 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan Presiden Warisan itu menyatakan perkara tersebut semasa wawancara bersama media pada hari tersebut.

Shafie berkata, Muhyiddin pernah menawarkan beliau untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional sebagai timbalannya.

“Haha. Cuba anda tanya kepada beliau,” katanya dengan nada bergurau ketika ditanya apakah Presiden Bersatu, yang menjadi Perdana Menteri pada bulan Mac, telah menawarkan Shafie jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ini selepas Shafie mendedahkan Muhyiddin berhubung dengannya untuk mendapatkan sokongan Warisan supaya dapat memperkuat PN.

“Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu,” tambah Shafie.

Menurut ketua menteri Sabah, Muhyiddin telah menghubunginya kira-kira dua minggu setelah PN berkuasa, mencadangkan pertemuan antara mereka.

“Ketika itu beliau sudah memegang jawatan tersebut (PM), beberapa minggu saya fikir, beliau menghantar SMS kepada saya. Beliau mengatakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk kami bercakap,” katanya.

“Itu beberapa waktu yang lalu. Ini melalui pesanan teks,” jelasnya

Walau bagaimanapun, Shafie berkata beliau lebih berminat untuk membincangkan isu antara kerajaan dengan kerajaan, antara Sabah dan persekutuan, daripada bercakap soal bergabung dengan PN.-SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button