Pandemik COVID-19 membawa impak besar kepada ekonomi berikutan perintah berkurung yang berpanjangan di Asia mewujudkan potensi kehilangan pekerjaan sehingga 167 juta, demikian menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).
Ketua Pengarah bagi pembangunan lestari dan perubahan iklim, Woochong Um berkata jumlah itu adalah berdasarkan tempoh pengurungan selama enam bulan dan kebanyakan sektor ekonomi yang paling terjejas ialah pekerja kurang mahir, perusahaan kecil dan sederhana, sektor tidak rasmi dan wanita.
“Adalah sukar selalunya untuk menjangkakan situasi seumpama ini. Saya berpendapat kita masih boleh menggunakan angka itu sebagai anggaran semasa berdasarkan perintah berkurung selama enam bulan sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam taklimat media pada Forum Ekonomi Dunia-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wilayah Pasifik Barat secara maya di sini hari ini.
“Ramai pekerja migran turut kehilangan pekerjaan mereka berikutan negara hos utama seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah turut bergelut dengan penularan itu,” katanya.
Beliau berkata ekonomi akan kembali di landasan pada 2021 sekiranya keadaan ini berjalan lancar menjelang tahun depan.
“Namun, untuk mengimbangi semula kerugian ini, ia mungkin mengambil masa selama beberapa tahun. Sekali lagi, ia benar-benar bergantung kepada bilangan gelombang yang mungkin kita hadapi dan sepantas mana kita mengambil pengajaran daripada gelombang pertama pandemik agar dapat meminimumkan pelbagai gelombang,” katanya.
Um berkata daripada perspektif ekonomi, perintah berkurung membawa kemudaratan dan sekiranya terdapat kaedah untuk membuka semula ekonomi walaupun sebahagian sahaja, ia akan membantu, namun, keputusan perlu dibuat berdasarkan sains dan pengetahuan mengenai situasi semasa dan lokasi tertentu.
Ditanya sama ada penyelarasan di peringkat serantau mungkin membantu membendung penularan itu, Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat Dr Takeshi Kasai berkata maklumat yang dikongsi berkenaan maklum balas adalah penting ke arah mengurangkan jangkitan COVID-19.
“WHO berusaha menghubungkan negara-negara anggota bagi memudahkan perkongsian maklumat, bukan sahaja berkenaan virus, malah terhadap maklum balas serta bukan hanya di peringkat kerajaan, tetapi dalam kalangan institusi yang (memerangi) COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Kasai menekankan bahawa tiada ruang untuk berpuas hati dalam membendung penularan COVID-19 berikutan banyak peluang untuk virus itu tersebar di rantau ini.
“Dalam dunia yang saling berhubung ini, selagi virus itu tersebar di mana-mana, tiada negara yang selamat. Kita mesti terus memberikan maklum balas terhadap situasi semasa dan bersedia di setiap sudut semua negara mengenai kemungkinan berlakunya jangkitan,” katanya.
Kasai berkata taktik yang digunakan oleh banyak negara di wilayah Pasifik Barat seperti pengesanan awal, pengasingan dan rawatan dan pengesanan kontak perlu diperluaskan ke seluruh negara dan diperkukuhkan.
“Kita kini dalam detik penting dan harus berwaspada sekiranya virus itu merebak semula,” katanya. – BERNAMA