Nasional

Dr Fadhlullah Suhaimi dilantik sebagai Pengerusi MCMC baharu

Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baharu untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa esok (10 Jun), demikian diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Fadhlullah Suhaimi akan menggantikan Al-Ishsal Ishak yang telah berkhidmat sejak Oktober 2018.

Fadhlullah Suhaimi, yang juga Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Perdana, adalah bekas anggota Suruhanjaya di MCMC dan mempunyai pengalaman 20 tahun dalam sektor telekomunikasi.

Saifuddin dalam kenyataan hari ini turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa sebagai penasihat telekomunikasi kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Zamzamzairani, yang kini Pengerusi UEM Sunrise Bhd, pernah menerajui Telekom Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor telekomunikasi.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata dasar-dasar MCMC akan ditambahbaik sebagai penyesuaian terhadap normal baharu susulan wabak COVID-19, selain merancang dan melaksanakan program tertentu mengikut urutan prioriti dan secara mampan bagi jangka masa panjang.

Beliau berkata, penambahbaikan dasar-dasar akan melibatkan tiga aspek utama iaitu infrastruktur, persediaan untuk 5G dan urus tadbir dan institusi.

“Usaha meningkatkan liputan infrastruktur jalur lebar yang lebih luas dan berkualiti tinggi di kawasan bandar, sub-urban dan luar bandar akan dipercepatkan,” katanya.

Dalam usaha persediaan 5G, Saifuddin berkata strategi pengagihan spektrum akan diperbaiki untuk memastikan penggunaan yang optimum.

“Struktur industri juga akan disemak semula untuk memastikan kemampanan industri dan keseimbangannya dengan kepentingan pengguna dalam jangka masa panjang,” katanya.

Bagi meningkatkan prestasi urus tadbir dan ketelusan institusi, Saifuddin berkata kuasa menteri akan disemak semula supaya wujud sistem semak dan imbang.

Selain itu, katanya MCMC akan menyemak semula skop tugas dan tanggungjawabnya supaya ia memberi fokus kepada peranan utamanya, termasuk memperbaiki struktur organisasi dan menambahbaik bidang tertentu seperti perundangan, audit dan sumber manusia.

“Saya yakin bahawa dengan pelantikan Fadhlullah Suhaimi sebagai pengerusi baharu serta usaha-usaha penambahbaikan ini, kita dapat mengukuhkan lagi peranan dan prestasi MCMC demi memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button