Nasional

Terharu bekas wartawan Kosmo! tekad bantu pasangan warga emas

KAMI sebenarnya senasib. Kami kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba apabila Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar pada Oktober tahun lalu.

Bezanya saya menumpukan terus karier sebagai wartawan dengan membuka portal berita sebaik Utusan Malaysia ditutup.

Kami seramai 10 orang bekas wartawan dan bahagian teknikal Utusan Online bersetuju bekerja secara sukarela tanpa gaji demi meneruskan bidang yang menjadi minat kami.

Kami hidup dengan duit simpanan dan kerja-kerja penulisan yang dibayar demi meneruskan kelangsungan hidup.

Selain itu Skim Insuran Pekerja yang dilaksanakan oleh Perkeso banyak meringankan beban kami.

Hilang pekerja dengan dua bulan gaji tertunggak dan tiada sesen pampasan bukan sesuatu yang mudah untuk memulakan kehidupan.

Muhamad Tarmize bekas wartawan Kosmo!, kami pernah bertugas bersama semasa membuat liputan Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.

Beliau yang mesra dengan panggilan Mizi seorang yang ringan tulang, selain tugas hakiki sebagai wartawan, dia juga menanam cendawan di kediamannya.

Apabila syarikat tempat kami bernaung gulung tikar Mizi kekal di Ipoh, Perak. Mizi dan sekumpulan bekas kakitangan Utusan di Perak telah menubuhkan page Perak Gazzette di Facebook sebagai platform untuk meneruskan minat dalam bidang kewartawanan dan penulisan.

Melihatkan potensi yang ada saya menawarkan bantuan teknikal untuk menyusun portal berita untuk rakan-rakan di Perak.

Setelah mendapat bayaran wang insuran pekerja, Mizi bersama beberapa orang lagi bertemu dengan saya dan kumpulan Suara Merdeka bagi membincangkan kos dan penyusunan portal Perak Gazzette.

Sepanjang perbualan saya dengan Mizi, mata saya tertumpu hujung jari jemarinya agak gelap berbanding tangannya.

Ia berpunca daripada sarung tangan yang dipakai terlalu lama kerana Mizi membawa motosikal sebagai penghantar makanan Grabfood.

Katanya Grabfood lebih mudah berbanding untuk mendapat lesen bagi membawa Grabcar.

Saya sebenarnya berasa sebak mendengar cerita dan melihat keadaan rakan sekerja yang sangat berbeza berbanding pertemuan kami di Cameron Highlands semasa masih memakai kad wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Namun di sebalik kesukaran hidup, naluri seorang wartawan yang gemar membantu orang, tidak pernah pudar. Pengalaman di Kosmo masih boleh digunakan.

Apabila kisah Mizi membantu pasangan warga emas tersiar di portal berita tempatan saya berasa bangga.

Ia cukup menginsafkan. Ketika kita merasakan terlalu sukar untuk menjalani kehidupan, tetapi ada orang lain yang lebih susah.

Kita juga tidak pernah terputus peluang dan ruang untuk membantu orang lain walaupun dalam keadaan kita berada pada titik paling rendah rantaian kehidupan.

Saya titipkan hantaran Mizi di dalam Facebook beliau dan semoga dapat membantu beliau membantu lebih ramai orang lain.

Muhamad Tarmize,

Syukur. Sumbangan kedua orang ramai sebanyak RM505.45 (digenapkan kepada RM510) telah diserahkan kepada Auntie tadi.

Terima kasih banyak-banyak kepada para penyumbang. Amanah anda semua telah disampaikan kepada Auntie. Semoga Tuhan membalas semua kebaikan anda.

Auntie ucapkan terima kasih kepada semua.

Nota – gambar pertama merupakan serahan pertama sebanyak RM500 kepada Auntie sebelum ini.

Gambar kedua merupakan sumbangan anda semua. Saya cuma menyampaikan.

RM50 daripada Puan Kalai akan digunakan untuk tambang Auntie ke mana-mana dia nak pergi. Itu permintaan Puan Kalai sendiri.

RM100 daripada Nur Syafiqah tu akan diserahkan kepada asnaf lain sebab ia zakat.

Terima kasih sekali lagi. Jumpa lagi. Nak cari duit sikit, banyak benda nak bayar. Grab on. 😁 – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button