Politik

Tubuhkan jawatankuasa bebas siasat tragedi Putra Height

KERAJAAN diminta menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti punca dan mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights kelmarin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain mendengar pandangan semua pihak, jawatankuasa tersebut juga mesti menyiasat dengan telus dan jujur kepada rakyat dalam siasatan yang dilakukan.

“Saya amat simpati kepada mangsa yang terlibat. Saya doakan semoga Allah SWT memudahkan urusan mereka. Terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang membantu,” katanya.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah menziarahi mangsa-mangsa kejadian tersebut yang ditempatkan di Dewan Masjid Putra Height, semalam.

Yang Dipertua Pas Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir juga bersetuju bahawa tragedi kes letupan paip gas tersebut wajar disiasat oleh sebuah jawatankuasa bebas bukannya oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri mesti melantik panel yang bebas dan berpengalaman. Laporannya dibentang di Dewan Negeri untuk dibahas. Rakyat mahu tahu apa yang sebenar berlaku, siasatan perlu telus dan komprehensif,” gesanya.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam pada itu merakamkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap semua mangsa serta penduduk yang terkesan susulan insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights itu.

“Syukur, tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Namun begitu, beberapa individu telah mengalami kecederaan dan beberapa premis dilaporkan mengalami kerosakan.

“Saya mendoakan agar semua mangsa yang tercedera diberikan kesembuhan segera dan segala urusan dipermudahkan. Sekalung penghargaan kepada semua anggota bomba, pasukan penyelamat.

“(Juga) pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan yang telah bertindak pantas dan cekap dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan orang awam,” ujarnya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu turut menggesa agar siasatan rapi yang telus dibuat agar tragedi sebegini tidak berulang lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button