Pertemuan antara Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gergasi teknologi Korea Selatan iaitu Hyundai Motor Company (HMC) dan OCI Holdings menghasilkan komitmen pelaburan baharu dalam sektor berteknologi tinggi di Malaysia.
Perdana Menteri berkata, komitmen Hyundai dalam memperkenalkan teknologi baharu di kilangnya di Malaysia sangat dialu alukan bagi meningkatkan skil serta pendapatan pekerja.
“Saya teruja ingin berkongsi hasil pertemuan serta perbincangan saya bersama pihak Hyundai Motor Company (HMC) dan OCI Holdings pada petang tadi di Seoul.
“Perbincangan ini merupakan penanda aras yang tidak kecil terutamanya dalam usaha dan upaya kita merebut pelaburan ‘High Value, High Growth’ dari Republik Korea ke Malaysia.
“Komitmen jangka panjang Hyundai untuk melaksanakan pemasangan kenderaan yang cekap tenaga, termasuk kereta elektrik, dan ini pastinya akan terus memperkukuh ekosistem automotif negara.
“Saya mendukung penuh pelaburan HMC, lantas memastikan iklim pelaburan yang menarik untuk pemasangan automotif, terutamanya model-model EV yang pastinya akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran automotif bagi pasaran ASEAN,” katanya di Facebook.
Sementara itu pertemuan bersama Pengerusi OCI Holdings, WooHyun Lee pula, kata Anwar amat memberangsangkan.
Syarikat berkenaan katanya, melahirkan hasrat untuk mengembangkan pelaburannya dalam polisilikon untuk industri semikonduktor dan solar seiringan dengan matlamat negara menjamin aspek kemampanan rantaian bekalan dan masa depan yang kuat bagi sektor semikonduktor.
“Pengembangan pelaburan oleh OCI menjadi terpenting dalam menjamin pertumbuhan industri kimia di Malaysia, dan dalam masa yang sama menambahbaik rantaian bekalan tempatan dengan memastikan ketersediaan bahan berkualiti tinggi untuk panel solar, semikonduktor dan perkakas industri yang lain,” kata Anwar lagi.
Perdana Menteri dalam lawatan ke Korea Selatan selama tiga hari di atas undangan presiden negara itu.