Acara

Raja Puan Muda Perlis hadir Majlis Berandam Surai

KANGAR 10 Sept. – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri beberapa majlis perkahwinan dan Majlis Berandam Surai pada penghujung minggu yang lalu.

Pada majlis pertama Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan berangkat ke Majlis Berandam Surai Cucunda kepada Jeneral (B) Tan Sri Affendi Buang dan Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini Binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bernama Tun Putera Abdul Malik Shah Bin Tun Putera Abdul Mubin Shah di Diamond Ballroom, Mandarin Oriental, Hotel Kuala Lumpur.

Turut berangkat pada majlis tersebut adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Pada masa yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat ke Majlis Perkahwinan Nur Farah Batrisya Che Ramli dan Muhammad Haffiz Mohd Ariffin di Grand Ballroom Bangi Resort Hotel, Bangi dan disambut oleh tuan rumah, Datuk Ramli Zain (Ayah) dan Siti Rohani Mohamad Zaki beserta Zulkefli Osman yang berasal dari Kuala Perlis dan Rosni Yahaya (Ibu).

Tuanku Pemangku Raja Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis pada sebelah malamnya berkenan berangkat ke Majlis Perkahwinan Amir Ridzuan Datuk Haji Abdul Rauf dengan Madiha Haji Md Ridza di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh tuan rumah, iaitu Rakan Kongsi Pengurusan Malaysia Ernst & Young (EY) PLT, Datuk Haji Abdul Rauf Haji Rashid yang juga merupakan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs bersama Datin Abidah Alip.

Pada ahad tengahari pula Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Perkahwinan Nur Farah Amanina Haji Norzaman dengan Jismi Jesmani di Casablanca Ballroom, Bertam Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh tuan rumah, Haji Norzaman Othman yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Kobelco Precision Technology Sdn Bhd yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Ummah Dan Risalah MAIPs dan isteri, Hajah Zubaidah Abdul Ghani.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button