“Satu benda yang saya belajar adalah untuk membuat sebuah konsert ini sangat susah.” – Aina Abdul
“Satu benda yang saya belajar adalah untuk membuat sebuah konsert ini sangat susah.” Demikian luahan kata-kata dari seorang penyanyi dan pencipta lagu prolifik, Aina Abdul.
Semasa sidang media yang berlangsung semalam di Imperial Lexis KL, Aina kelihatan sebak dan menitiskan air mata semasa mengumumkan konsert jelajah “AINA ABDUL IMAJI TOUR” di tiga lokasi utama di Malaysia.
“Saya tak sangka akan breakdown macam ni. Bertahun saya berada dalam industri, satu benda yang saya belajar adalah bahawa untuk membuat sebuah konsert ini sangat susah.
“Saya memberitahu pasukan saya, walaupun tahun ini sangat sukar dan kita berhadapan dengan banyak penolakan, Aina Abdul Entertainment tetap akan berada di sini untuk menjayakan konsert yang sudah lama kita rancang ini,” luahnya.
Menurutnya lagi, beliau lebih selesa mengadakan konsert kali ini diuruskan oleh pasukannya sendiri dan mengeluarkan dana sendiri. Bagaimanapun, ia masih terbuka kepada sesiapa yang ingin memberikan tajaan sepanjang konsertnya berlangsung.
“Kali ini kita ada strategi. Segala pengalaman sebelum ini, 1.0, 2.0, 3.0, dan persembahan kecil yang saya hadiri pun mengajar saya. Ada perkara yang boleh dilaksanakan dengan kos yang rendah, dan benda itu saya belajar.”
“Saya juga sudah ada penasihat yang baik. Abang saya boleh menjaga kewangan, dan selepas kita war-warkan, saya harap akan ada banyak tajaan kerjasama dengan saya. Saya alu-alukan kepada sesiapa untuk datang kepada saya sekarang.”
Konsert ini dianjurkan oleh Aina Abdul Entertainment dan akan singgah di Kedah, Kuala Lumpur, dan Sarawak. Pada 14 Disember 2024, konsert akan berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak.
Seterusnya, pada 27 Disember 2024, Zepp KL bakal menjadi lokasi kedua, dan siri ini akan berakhir di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 11 Januari 2025.
Jelajah ini, yang diuruskan oleh Altus Prohouse, adalah sebahagian daripada usaha Aina untuk mempromosikan album sulungnya, Imaji, yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.
Siri konsert ini diadakan setahun selepas pelancaran album Imaji kerana beliau mahu memastikan peminat benar-benar akrab dengan lagu-lagu dalam album tersebut.
“Setahun sudah cukup untuk peminat menghayati lagu-lagu dalam Imaji, dan sekarang adalah masa yang tepat untuk membawa pengalaman album ini ke pentas.”
Beliau turut berkongsi bahawa siri konsert ini adalah pencapaian penting dalam kariernya.
“Selepas setahun sejak pelancaran Imaji, saya teruja untuk kembali ke pentas dengan semangat baharu. Setiap lokasi dipilih dengan penuh makna, dan saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman muzik ini dengan peminat di seluruh negara.”
Aina turut berjanji bahawa konsert ini akan menampilkan persembahan yang penuh emosi dan kreativiti, sesuai dengan gaya muziknya. Lagu-lagu seperti Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Kamu, Bilang, dan lain-lain akan disusun semula untuk memberi pengalaman muzik yang lebih mendalam kepada penonton.
Tiket untuk “AINA ABDUL IMAJI TOUR” akan mula dijual pada 10 September 2024 jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my. Peminat boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Aina Abdul untuk perkembangan terkini mengenai jualan tiket dan butiran lanjut konsert.
“Saya ingin setiap peminat yang hadir pulang dengan kenangan yang tak terlupakan,” tambah Aina.
Dengan persiapan rapi dan dedikasi yang tinggi, Aina Abdul bersedia memberikan persembahan terbaik dalam siri konsert ini, yang dijangka menjadi satu lagi langkah besar dalam kariernya dan memberi inspirasi kepada peminatnya di seluruh Malaysia.
Artikle Berkaitan :>
Tujuh Fesyen Luar Biasa Aina Abdul Dalam Konsert A Night With Aina Abdul 2.0!