Nasional

Merdeka bukan sekadar rutin sambutan – Pemangku Raja Perlis

KANGAR 15 Ogos – Kemerdekaan bukanlah sekadar satu rutin sambutan tahunan tetapi sebaliknya ia mengingatkan kita mengenai nikmat keamanan dan kestabilan sebuah negara bangsa.

Sebagai tanda kesyukuran, nikmat kemerdekaan ini mestilah diisi dengan menghayati dan memahami akan tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia yang berdaulat.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengadakan lawatan ke Muzium Memori Kemerdekaan Namibia sempena program Safar Ilmi MAIPs ke negara tersebut baru-baru ini. Muzium tersebut didedikasikan untuk perjuangan anti-penjajahan dan kemerdekaan negara berkenaan.

Berangkat sama ialah anakanda Baginda yang juga waris yang kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut mengiring ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya barsama-sama Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Pemangku Raja, “Dalam menghayati erti kemerdekaan Negara tercinta, seluruh warganya perlu mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat kedaulatan dan keselamatan negara.”

“Selain itu, kemerdekaan hendaklah diisi dengan usaha untuk membangunkan negara ini secara bersungguh-sungguh, serta mempertingkatkan pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang demi mencapai kemakmuran, kestabilan dan kegemilangannya,”

Muzium berkenaan berfungsi sebagai pusat repositori bahan dan memorabilia yang berkaitan dengan penentangan anti-kolonial Namibia dan perjuangan pembebasan bersenjata.

Antara yang menarik dipamerkan di muzium berkenaan adalah mengenai sejarah penglibatan Malaysia dalam Misi Pengaman Kumpulan Bantuan Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTAG), yang menyelia pilihan raya Namibia dan peralihan kepada kemerdekaan pada 1990.

Muzium ini dirasmikan pada 20 Mac 2014 oleh bekas Presiden Republik Namibia Tuan Yang Terutama Dr Hifikepunye Lucas Pohamba.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button