Agama

Pemangku Raja Perlis kagum siasah jemaah haji Malaysia

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menzahirkan rasa bangga apabila mendapati para jemaah haji Malaysia sentiasa disegani ramai dan dipuji kerana nilai-nilai positif.

Baginda terharu apabila mendapati rata-rata penginapan dan khemah yang didiami jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan bersih walaupun telah digunakan ramai.

Demikian titah Baginda menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menurut Tuanku Pemangku Raja, selain tersusun dari sudut pengurusan, para jemaah haji Malaysia turut disenangi kerana ketinggian budi pekerti dan adab serta sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan Arab Saudi serta Lembaga Tabung Haji dan juga Kedutaan Besar Malaysia.

Related Articles


Titah Baginda lagi, inilah nilai dan ciri yang harus dipertahankan dan MAIPs melalui Jawatankuasa di bawahnya berhasrat untuk membudayakan nilai positif berkenaan agar dapat diterapkan di kalangan masyarakat terutamanya di kalangan generasi muda.

Usaha menerapkan nilai-nilai positif berkenaan melalui silibus Sekolah Agama Petang Perlis
(SAPP), penekanan dalam pengajaran kuliah agama dan khutbah selain pendekatan santai melalui media sosial seperti ‘podcast’ dan hantaran sebaran ringkas telah dan bakal dilaksanakan MAIPs.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah yang disampaikan Baginda kepada Konsul Jeneralnya, Roslan Sharif ketika berangkat tiba di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Paduka Anakanda Baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut menyambut adalah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri, Datin Zuhaila Abd Latif.

Mengiringi Baginda dan keluarga ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Untuk rekod, jumlah rakyat Malaysia di Arab Saudi adalah sebanyak 7,677 dengan 5,675 adalah mereka yang bekerja manakala sebanyak 2,002 lagi adalah ahli keluarga yang datang bersama. Perkhidmatan pekerjaan yang utama bagi rakyat Malaysia adalah dalam bidang kejururawatan iaitu sebanyak 3,224 manakala bakinya adalah dalam bidang professional seperti Jurutera dan akauntan serta dalam bidang teknikal.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button