Sukan

Atlet woodball Perlis kuasai kejohanan kebangsaan

Dua orang atlet woodball dari Perlis telah mengharumkan nama negeri ini di peringkat kebangsaan selepas Azhar Abdul Wahab dinobatkan sebagai Juara bagi kategori Terbuka Lelaki dan Amsyar Sirhan Saifullah Saharuddin pula Juara bagi kategori Remaja Lelaki dalam Grand Final Sirkit Kebangsaan 2023 di Kejohanan Woodball Kebangsaan Ke-18 bagi tahun 2024 bertempat di Laman Woodball Vision Park, Bertam, Pulau Pinang. Manakala bagi Kejohanan Woodball Kebangsaan kali ke-18 2024 telah menyaksikan tiga atlet woodball dari Perlis telah dinobatkan sebagai Juara iaitu Hasfizal Samad bagi kategori Lelaki Terbuka, Asmawana Aziz bagi kategori Wanita Terbuka dan Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadhilah bagi kategori Remaja Lelaki.

Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) telah menghantar kontinjen seramai 41 orang termasuk para pegawai yang merangkumi 17 orang pemain Terbuka Lelaki, 12 orang pemain Terbuka Wanita, 7 orang pemain Remaja Lelaki dan 5 orang pemain Remaja Perempuan, 3 orang pemain dari kategori Veteran Lelaki dan Wanita yang turut serta bersama dalam kejohanan ini.

Kejohanan ini telah berlangsung selama empat hari bermula pada 6 sehingga 9 Jun 2024 yang lalu. Atlet woodball Perlis turut melakarkan keputusan yang membanggakan dengan tempat kedua kategori Wanita Terbuka oleh Qistina Reffal, tempat kedua kategori Remaja Lelaki oleh Muhammad Azim Syaqil Azizan, tempat ketiga kategori Remaja Lelaki oleh Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin, tempat pertama kategori Beregu Remaja Lelaki oleh Muhamad Aiman Haizad Arif Fadilah dan Muhammad Azim Shaqil Azizan, tempat ketiga bagi kategori Beregu Terbuka Wanita oleh Salbiah Hashim dan Rahimah Raimi dan tempat kedua bagi kategori Beregu Campuran oleh Hasfizal Samad dan Asmawana Aziz.

Related Articles

Bagi keputusan lain, tempat kedua bagi kategori Beregu Remaja Perempuan bawah 21 tahun oleh Anis Humaira Jasni dan Emylen Sofea Mohd Shukri serta tempat ketiga bagi kategori Beregu Remaja Lelaki bawah 21 tahun oleh Eusuff Iman Mohd Shukri dan Amsyar Sirhan Saifullah Saharuddin.

Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin, Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadilah, Muhammad Azim Shaqil Azian, Emlen Sofea Mohd Shukri dan beberapa atlet woodball Perlis yang lain akan mewakili negara Malaysia bagi bertanding di 1st Asian Cup Beach Woodball Championship di Donghae, Korea pada bulan Ogos dan 24th Malaysia International Woodball Championship pada bulan Julai tahun 2024.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dan mengharumkan nama Perlis di peringkat Kebangsaan pada kali ini. Baginda juga berharap agar pencapaian baik ini akan menjadi pembakar semangat buat atlet woodball Perlis yang juga diberi nama jolokan sebagai ‘The Perlis Woodpeckers’ untuk berusaha dengan lebih keras bagi kejohanan-kejohanan yang akan datang kelak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button