Nasional

JKR Perlis rangkul tujuh anugerah

Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis telah berjaya merangkul 4 Anugerah Inovasi dan 3 Anugerah Kontraktor Cemerlang sempena Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR Malaysia Tahun 2024 yang telah berlangsung pada 27 Mei sehingga 29 Mei di KSL Esplanade Hotel, Klang baru-baru ini.

Anugerah-anugerah yang diterima termasuklah Anugerah Khas Yang Berhirmat Menteri Kerja Raya, Anugerah Pengurusan Pejabat JKR Negeri Terbaik, tempat pertama bagi Anugerah Inovasi Pengurusan Projek Terbaik Bernilai RM500 Ribu hingga RM 20 Juta dan tempat kedua bagi Anugerah Inovasi Pengurusan Projek Terbaik bernilai RM20 Juta ke atas.

Pencapaian cemerlang ini atas kerjasama yang baik oleh JKR Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri kerana berjaya mengurus organisasi berkesan dan melaksanakan projek berskala besar serta berkompleksiti tinggi berbanding negeri-negeri lain yang mempunyai pelbagai kelebihan daripada semua aspek seperti kemampuan kewangan dan sumber manusia.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah JKR Perlis, Ir Mohd Shahril Mohd Said kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Sembah Mengadap Perpisahan beliau di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Ir Mohd Shahril merupakan Jurutera Daerah Hulu Langat di JKR Negeri Selangor sebelum menjalankan tugas sebagai Pengarah JKR Negeri Perlis pada Ogos 2021 dan akan menggalaskan tugas baharu sebagai Jurutera Awam Penguasa Kanan di Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia bermula pada 18 Jun 2024 ini.

Sepanjang bertugas di Perlis, beliau telah berjaya memberi semangat kepada warga kakitangan JKR Perlis untuk kerja lebih cekap dan pantas serta efisien bagi menyiapkan projek-projek yang tergendala dan terkesan pasca Covid-19. Pencapaian ini dikukuhkan lagi dengan prestasi perbelanjaan peruntukan Persekutuan yang dilaporkan setiap bulan di peringkat tertinggi JKR Malaysia, prestasi JKR Perlis adalah tertinggi perbelanjaan berbanding dengan negeri lain.

Integriti kakitangan juga telah ditingkatkan melalui usaha-usaha membanteras sebarang unsur rasuah dengan semua perolehan kerja dibuat secara telus dan adil. Ini dibuktikan dengan surat daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan bahawa JKR Perlis adalah Jabatan dikategorikan sebagai berisiko rendah.

JKR Perlis juga telah mendapat pengiktirafan dan persijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh pihak MAMPU dalam kategori Cemerlang. Pengiktirafan ini telah menjadikan JKR Perlis agensi pertama di bawah Kerajaan Negeri yang memperoleh pengiktirafan tersebut sebagai contoh kepada agensi negeri dan Persekutuan yang lain.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah atas kenaikkan pangkat dan penghargaan kepada Ir Mohd Shahril yang telah berjaya membawa banyak perubahan positif khususnya kepada pengurusan JKR Negeri Perlis. Baginda turut berharap agar rekod dan pencapaian baik ini akan dikekalkan dan ditambah baik lagi dari semasa ke semasa oleh JKR Perlis nanti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button