Acara sukan utama merancakkan pelancongan sukan di Perlis – Pemangku Raja Perlis
Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Penganjur kejohanan dan badan-badan sukan di Malaysia diharap agar terus memilih Perlis sebagai tuan rumah bagi menjayakan sebarang aktiviti sukan yang berskala besar bagi membantu merancakkan lagi sektor ‘Pelancongan Sukan’ di negeri ini khususnya sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, penganjuran kejohanan Memanah Terbuka Indera Knights Archery Club (IKAC) 1.24 bagi tahun 2024 secara tidak langsung dapat menyumbang dan mempertingkatkan lagi mutu sukan memanah khususnya di kalangan warga Perlis selain melahirkan bakat-bakat baharu yang mampu membawa cabaran ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya antarabangsa.
Baginda menyarankan agar pihak IKAC akan menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan di Perlis dan membuka peluang kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah bagi melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baru dalam bidang sukan ini yang akan mewakili Perlis dan mengharumkan nama negara pada satu masa nanti.
Demikian titah Tuanku Pemangku Raja ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Memanah Terbuka IKAC 1.24 di Dewan Indera Kayangan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Kangar.
Keberangatan tiba baginda diiringi oleh Anakanda Bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Presiden IKAC, Dr. Nurazam Omar.
Kejohanan ini telah dianjurkan oleh IKAC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), KPJ Perlis Specialist Hospital dan Bank Rakyat Cawangan Kangar. Ia disertai oleh 640 orang peserta dan 150 orang jurulatih daripada 90 buah pasukan dari seluruh Malaysia.
IKAC merupakan sebuah kelab memanah yang ditubuhkan pada tahun 2022 dan telah diluluskan pendaftaran penubuhannya oleh Pesuruhjaya Sukan pada Mac 2023.
Menurut Dr. Nurazam, IKAC ditubuhkan atas inisiatif ibu bapa penggemar sukan memanah ‘recurve’ dengan niat untuk mengumpulkan penggemar sukan memanah ‘recurve’ di negeri Perlis di samping mencari dan mengembangkan bakat baru dalam kalangan murid di negeri Perlis.
“Antara kejayaan terbesar pemanah IKAC adalah dengan mendominasi beberapa kejohanan memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kejayaan terbaru salah seorang pemanah IKAC Nur Qaireen Umairah Norazlizal telah mengharumkan nama Perlis dan Malaysia di persada antarabangsa kerana menjadi Johan kategori bawah 15 tahun Kartini Cup edisi 7 di Gelora Bung Karno Jakarta pada 24 dan 25 April yang lalu”, tambah beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan Anugerah Khas Pencapaian Memanah kepada Nur Qaireen Umairah Norazlizal dari kelab IKAC yang telah aktif dalam sukan memanah pada usia 9 tahun, dibimbing oleh bapanya dan merupakan pemegang 5 rekod kebangsaan serta 3 pingat emas di 7th Kartini International Championship.
Qays Amsyar Azizan pula menerima Anugerah Khas Pemanah Orang Kurang Upaya (OKU) Kurang Pendengaran dari kelab 3Q Archery, Selangor merupakan Johan MSSD Daerah Petaling Perdana, Johan Karnival Sukan Kokurikulum SKBJ, Johan Kejohanan Memanah Pembangunan SK Panglima Bukit Gantang Siri 1 Ke-4 serta Kejohanan Memanah Kebangsaan Bawah 12 & 15 Siri 2 bagi tahun 2022. Bagi tahun 2023 dan 2024 pula adalah Ke-2 pada Kejohanan Memanah Sabak Bernam, Ke-4 IKM Jasin Indoor Championship Tournament dan Ke-3 berpasukan Karnival Bakat 2024.
Penerima bagi Anugerah Khas Pemanah OKU Fizikal pula adalah Muhammad Rafa Hudzaifah Fudhoil Tyadh dari kelab Keiji Jade Archery, Pulau Pinang yang aktif dalam sukan ini dengan penglibatan dalam program pembangunan Mahrajan Memanah Recurve open PEKDIS 2023, program Pembangunan MSSPP dan kejohanan Memanah JMTI 2024.
Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan agar penganjuran sukan memanah ini akan dapat diteruskan lagi pada setiap tahun kerana kejohanan seperti ini merupakan medan untuk mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi dalam kalangan peserta.