Nasional

Yusoff Rawther disiasat semula menjelang mesyuarat peralihan kuasa

POLIS memanggil semula bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Arahan itu dikeluarkan supaya membuka semula siasatan ke atas satu laporan yang dibuat terhadap seorang pembantu presiden PKR itu tahun lepas.

Ironinya arahan itu dikeluarkan menjelang mesyuarat pemimpin tertinggi Pakatan Harapan esok bagi memutuskan tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Polis diminta mengemukakan kertas siasatan kepada AGC hari ini sebaik sahaja mereka selesai mengambil kenyataan Yusoff.

FMT melaporkan bahawa satu siasatan baru dijalankan ke atas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizak Mubarak di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan berkait kesalahan intimidasi jenayah dan menyebabkan kecederaan.

“Siasatan itu diberi keutamaan dan (Peguam Negara) Tommy Thomas mahu kertas siasatan dikemukakan di Putrajaya hari ini tanpa lengah,” menurut laporan portal berita FMT

Portal itu memetik sumber yang berkata, wujud “kebimbangan” bahawa tokoh politik tertentu mempengaruhi siasatan sebelum ini.

“Beberapa orang pegawai paling kanan telah ditugaskan untuk mengendalikan kes ini.”

Perkembangan ini muncul hanya 3 minggu selepas Yusoff mempersoalkan ketiadaan tindakan polis berhubung laporan yang dibuatnya terhadap Farhash, yang juga merupakan pengerusi PKR Perak, tahun lepas.

Dalam laporan polisnya Mei tahun lepas, Yusoff berkata, Farhash menyerangnya di sebuah banglo yang digunakan oleh Anwar sebagai pejabatnya, sehingga menyebabkan kecederaan di bahu beliau.

Satu laporan perubatan daripada Hospital Pantai menyebut bahunya cedera dan terkoyak dan memerlukan pembedahan dengan kos RM40,000.

Bulan lepas Yusoff berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) memutuskan tiada kes terhadap Farhash.

Yusoff memfailkan satu saman sivil terhadap Farhash pada September menuntut pampasan atas kecederaan yang dialaminya. Farhash juga memfailkan satu saman fitnah terhadap Yusoff.

Yusoff juga menuduh Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, tetapi AGC pada bulan lepas memutuskan tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwa presiden PKR itu, yang dinamakan oleh Pakatan Harapan pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pemimpin tertinggi gabungan politik itu dijangka mengumumkan tarikh peralihan kuasa tersebut esok.

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button