Kafe Durianma Bukit Jelutong, bukan sekadar durian
SETIAP kali kita sebut saja “durian”, pasti kita boleh menghidu aroma buah tempatan ini dari jauh. Rasanya lemak manis, aroma yang sangat kuat. Orang kata, tak kenal maka tak cinta.
Musim buah yang senonim dengan gelaran sebagai Raja Buah, merupakan musim yang ditunggu-tunggu oleh peminatnya. Maka banyaklah gerai durian di tepi-tepi jalanan tumbuh bagai cendawan dengan menwarkan pelbagai jenis durian untuk memuaskan selera peminatnya.
Cuma apabila memikirkan faktor keselesaan atau keselamatan makan di gerai-gerai durian di tepi jalanan bersama keluarga, ada yang tidak meneruskan niat tersebut.
Maka Kafe Durianma ini dilhamkan apabila melihat kepada keperluan untuk memberi keselesaan kepada golongan kanak-kanak dan wanita yang suka makanan jalanan (street food) tapi sukar untuk menikmatinya secara bersama keluarga dan rakan-rakan terutama disebabkan faktor cuaca panas atau hujan, juga faktor keselamatan dan kebersihan di tepi jalan.
Menurut usahawan muda ini, Musaab Mesuri, semuanya bermula pada tahun 2015 apabila beliau mula mengambil tempahan Durian Raub secara berkumpulan untuk keluarga terdekat serta jiran tetangga. Selama 4 tahun beliau menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan akhirnya mengambil keputusan untuk membuka gerai durian di tepi jalan selama 6 bulan sebelum mengambil langkah yang lebih besar lagi dengan membuka Kafe Durianma di Bukit Jelutong, Shah Alam. Kafe ini diusahakan bersama dengan isteri tercinta Shatirah Abdul Rahim.
Durian yang dijual di kafe ini diambil dari dua tempat iaitu Balik Pulau Pulau Pinang dan Raub Pahang. Keistimewaan jenis durian yand diberi nama Durian Mas dari Balik Pulau ini dikatakan hanya terdapat 5 pokok sahaja dalam Malaysia dan musimnya amat pendek, hanya 3 minggu sahaja.
Manakala jenis durian dari Raub pula adalah seperti Musang King, Tekka, D24, XO, IOI dan beberapa jenis yang lain. Pelanggan yang membeli durian di kafe ini kebanyakkan suka beli durian dengan kaedah timbang isi. Ia memberi kepuasan kepada pelanggan.
Selain dari durian, kafe ini juga turut menyediakan juadah seperti Char Kuey Teow Penang Dapur Arang, Nasi Lemak, Lempeng Nyoq, Roti Jala Serawa Durian dan pelbagai lagi. Untuk menghilangkan dahaga, Cendol, Nyoq Pandan, Coconut Shake dan pelbagai air lain juga ada dijual di Durianma.
Kafe ini dibuka bermula pukul 7:45 pagi dan hanya tutup pada setiap hari Rabu, kalau rasa nak sarapan durian bolehlah ke Kafe Durianma yang terletak di sebelah Bank Islam Bukit Jelutong Shah Alam. – SM
Artikel berkaitan > Belia, penuntut IPT tunggu durian runtuh e-Tunai Rahmah