APHM tampilkan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2023
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) tampil menganjurkan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), persidangan dan pameran itu berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun dan mengangkat “Dinamik Baru Dalam Penyampaian Penjagaan Kesihatan” sebagai tema utama.
“Di samping itu, persidangan yang berlangsung ini juga diadakan untuk memberi platform kepada penjagaan kesihatan profesional, pakar industri dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia untuk membincangkan trend terkini, kemajuan dan cabaran dalam industri penjagaan kesihatan.
“Acara yang berlangsung selama tiga hari ini juga akan memberi fokus kepada beberapa perkara seperti, model perniagaan baru dalam penyampaian penjagaan kesihatan, persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penyediaan hospital konsep yang berpusatkan pesakit,” kata KKM.
Acara itu dirasmikan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan menerusi persidangan, banyak ahli panel yang terpilih dapat berkongsi pendapat serta idea dari seluruh pelosok dunia.
“Tahun ini, lebih daripada 134 syarikat pameran akan mengambil bahagian dan lebih daripada 210 jenis pameran yang mewakili produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan terkini akan dipamerkan dalam acara ini.
“Antara negara yang terlibat adalah Austria, Belgium, Brazil, China, Kanada, Czech, Perancis, Jerman, Hong Kong, Itali, India, Jepun, Malaysia, Belanda, Poland, Sweden, Singapura, Sepanyol, Korea Selatan, Switzerland, Taiwan, Turki, UK, Amerika Syarikat dan banyak lagi,” kata KKM.
Pameran ini juga mempamerkan beberapa peralatan perubatan terkini, alat perubatan pakai buang, fisioterapi dan pemulihan, program pendidikan penjagaan kesihatan dan banyak lagi.