AgamaNasionalNegeri

JAIPs panggil Ustaz Wadi Anuar beri keterangan, penganjur sebelum didakwa

PENCERAMAH Ustaz Wadi Anuar akan dipanggil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) pada 17 April depan berhubung ceramah tanpa tauliah sebelum didakwa mengikut undang-undang syariah di negeri ini.

Selain itu penganjur bagi Program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Anuar di Kompleks Pendidikan MATIN di Jalan Abi Batas Paip, Kangar juga akan dipanggil selepas itu sebelum pendakwaan.

Suasana tegang dalam video yang tular antara Najmuddin (kiri) bersama penganjur di Kompleks Pendidikan MATIN berhubung penceramah tiada tauliah malam tadi.

Sekaligus ini membuktikan Perlis kali ini bertegas mengikut lunas undang-undang kerana sikap bertoleransi selama ini dengan memberi nasihat kepada penceramah yang enggan mendapatkan tauliah didapati gagal apabila meneruskan juga aktiviti berceramah.

Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan, apa yang dikesalkan amalan tolenrasi selama ini berkaitan isu tauliah telah memberi ruang untuk dipersendakan oleh pihak tertentu.

Mohd Asri berkata, tindakan ini juga sebagai menjunjung titah perintah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di mana Baginda mahukan siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap penganjur dan juga penceramah agama Islam yang tidak mendapat tauliah di negeri ini.

Katanya, kakitangan JAIPs yang hadir di Kompleks MATIN malam tadi sebenarnya ingin membawa Wadi untuk diambil keterangan berhubung penglibatannya dalam program berkenaan.

Bagaimanapun katanya telah berlaku ketegangan dengan penganjur apabila pihak penguatkuasaan JAIPs yang datang bersama anggota polis itu sebagai mengikut prosedur.

Katanya, pihak JAIPs selaku penjawat awam ini bukan sahaja dihalang malah dijeritkan oleh yang kumpulan yang hadir pada majlis itu sebagai “geng kafir”.

“Perkataan ini juga tidak wajar dikeluarkan pada bulan yang mulia ini kerana kita cuba mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara ini mengikut peraturan,” katanya pada sidang media di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini petang ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.

Mohd Asri berkata, sebelum ini JAIPs telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur ini supaya memastikan penceramahnya mengambil tauliah negeri ini.

Sementara itu, dalam video yang tular di mana salah seorang yang mendakwa Ahli Majlis Penasihat Matin memberi amaran “kita mahu inilah kali terakhir JAIPs kacau kami di Matin” sambil disahut sebagai sokongan oleh jemaah dan jeritan “geng Kafir” yang dituju pada petugas JAIPs. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button