Nasionalpilihan

Stesen Penyelidikan Hibrid buka lembaran baharu penyelidikan pertanian – Raja Perlis

RAJA PERLIS, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, Stesen Penyelidikan Hibrid telah membuka suatu lagi lembaran baharu dalam sektor penyelidikan pertanian.

Baginda bertitah, stesen ini diharap menjadi mercu tanda dan tumpuan komuniti pertanian terutamanya daripada para penyelidik, petani mahupun industri untuk bersatu dalam penyelidikan penghasilan benih tanaman hibrid yang berkualiti tinggi.

“Dengan adanya stesen penyelidikan ini diharap ia dapat mengurangkan lagi jurang pendapatan golongan petani dan golongan pekerja serta menjadikan pertanian satu bidang perniagaan yang menguntungkan,” titah Baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan penyerahan stesen ini dari Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS) kepada Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis di Jalan Tambun Tulang hari ini.

Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sambil diperhati Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) melihat varieti padi baharu di MARDI Perlis, Jalan Tambun Tulang hari ini. – Gambar Ihsan Sin Chew Daily

Baginda juga berkenan untuk menjenamakan stesen ini kepada Stesen Penyelidikan Hibrid MARDI Perlis-YTSS.

Berkenan hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee,
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Nurul Hisham Yaakob.

Bersempena dengan majlis itu juga, Raja Perlis turut diperkenalkan dengan tiga varieti tanaman baharu iaitu Jagung Bijirin yang dinamakan dengan Nurlin, Varieti Jagung Manis iaitu SR1 dan Varieti Padi Baharu yang dinamakan dengan nama Farah.

Pengenalan tiga varieti baharu ini merupakan hasil kajian adaptasi percubaan penentusahan setempat oleh Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) yang menunjukkan keputusan yang memberangsangkan. – SM

Artikel berkaitan > Raja Perlis terima mengadap Pengerusi RRD di Istana Arau

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button