Nasional

Bekas Pengerusi Felda didakwa terima RM1juta daripada Najib

PIHAK pendakwaan dalam kes Tan Sri Shahrir Ab Samad akan membuktikan bekas Pengerusi Felda itu terbabit secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali, berkata terdapat keterangan lisan daripada saksi pendakwaan bagi membuktikan tertuduh (Shahrir) memperoleh wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui sekeping cek bertarikh 27 November 2013.

“Terdapat juga keterangan bahawa tertuduh tidak melaporkan pendapatan sebenar itu dalam Borang Penyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013. Ini membuktikan tertuduh telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi menyebabkan hasil daripada satu aktiviti haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, apabila tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.


Dia tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd ‘Afif berkata, pihak pendakwaan akan memanggil semua saksi yang berkenaan bagi membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh, sama ada melalui keterangan secara terus atau secara tidak langsung.

Shahrir yang memakai sut berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 8.20 pagi.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

Pada prosiding hari ini, Shahrir diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syahrul Syazwan Salehin dan Shazreen Mohd Hatta.

Selepas pernyataan pembukaan dibacakan, pendakwaan memanggil saksi pertamanya iaitu Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Rosli Mat Jinun, 49, untuk memberi keterangan. – BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button