PERKESO dan Flex berganding bahu buka peluang pekerjaan kepada OKU
Wujudkan hub satelit MYFutureJobs@Flex
PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Flex Penang semalam telah mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak menerusi pemeteraian satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa penempatan pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.
Selain memangkin usaha pengambilan pekerja dalam kalangan OKU, langkah ini juga dapat mewujudkan pembangunan ekonomi negeri yang lebih inklusif. Memorandum yang ditandatangani itu juga antara lain akan memberi laluan kepada penubuhan sebuah Hub Satelit MYFutureJobs@Flex di kompleks Flex Penang di Prai.
Pemeteraian MoU telah disaksikan oleh Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia dan ditandatangani oleh Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan Encik Viswanathan Paramasivam, Naib Presiden Flex Penang.
Antara bidang kerjasama strategik lain di bawah MoU tersebut merangkumi aspek penyelidikan dan pengajaran, program kebolehpasaran kerjaya, perkhidmatan pekerjaan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sesi Training of Trainers (ToT) dan Program Return to Work (RTW) PERKESO.
Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan pekerjaan PERKESO dapat dilaksanakan secara komprehensif dan sistematik, pengoperasian Hub Satelit MYFutureJobs@Flex akan dilaksanakan secara bersama antara PERKESO dan Flex Penang. Hab ini juga akan menjadi platform kepada para pencari kerja di sekitar Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan terkini, selain turut berfungsi sebagai pusat perkongsian dan penganjuran program kerjaya oleh MYFutureJobs.
Kolaborasi dua hala ini disambut baik oleh YB Datuk Seri M.Saravanan yang menyatakan sokongan penuh Kementerian Sumber Manusia terhadap kerjasama awam-swasta seperti yang dijalinkan antara PERKESO dan Flex Penang. Beliau yang turut merasmikan hab berkenaan telah menzahirkan hasratnya untuk melihat lebih ramai majikan di negara ini untuk mencontohi inisiatif proaktif tersebut bagi merancakkan lagi penempatan pekerja tempatan dalam syarikat swasta, khususnya daripada golongan rentan seperti OKU.
Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata pembukaan hab tersebut menjadikan Flex Penang sebagai syarikat pertama di Malaysia yang mempunyai Hub Satelit MYFutureJobs. Tambah beliau lagi, PERKESO, menerusi Portal MYFutureJobs berjaya menempatkan seramai 150 orang pekerja OKU di Flex Penang sehingga tahun ini dan menjangkakan lebih ramai golongan OKU akan diambil bekerja dengan syarikat ini setelah Hub Satelit MYFutureJobs@Flex mula beroperasi.
Menurut Encik Viswanathan Paramasivam, Flex Penang sentiasa mengalu-alukan semua individu tanpa mengira identiti di syarikat mereka dan komited untuk terus mewujudkan budaya kerja yang inklusif. Berpegang kepada prinsip meraikan kepelbagaian dalam tenaga kerja, beliau yakin langkah ini dapat meningkatkan produktiviti organisasi kerana setiap individu adalah unik dan mempunyai bakat serta kemahiran yang berbeza.
Sehingga kini, Flex Penang telah mengambil seramai 277 golongan OKU bekerja di seluruh negara, sekali gus menjadikan syarikat tersebut sebagai salah satu majikan paling tinggi yang menggajikan golongan OKU di Malaysia. Dalam majlis yang sama, Flex Penang turut membuat sumbangan alat bantuan pendengaran kepada 14 orang ahli Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang.
PERKESO menggalakkan semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Pulau Pinang yang sedang mencari pekerjaan atau meninjau peluang pekerjaan lain, supaya segera berdaftar di Portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my atau hubungi nombor Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].
Artikel berkaitan > PERKESO gantung bayaran RM423 juta