Jenayah

Premis menyimpan minyak masak tanpa permit diserbu KPDNHEP

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menyerbu premis perniagaan yang telah menyimpan minyak masak melebihi had sepatutnya yang bertujuan untuk perniagaan tanpa lesen.

Serbuan yang dilakukan hasil daripada maklumat orang awam pada jam 6.00 petang itu mendapati seorang lelaki pemilik premis yang berwarga tempatan berumur lingkungan 60-an memaklumkan bahawa perniagaan yang dijalankan adalah menjual guni dan memproses makanan.

Pihak premis telah gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sebanyak 44 kotak minyak masak botol 5 kg dengan jumlah keseluruhan sebanyak 176 botol bersama beberapa dokumen perniagaan lain dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM 7,920.00 dijumpai di premis tersebut.


Siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti dari mana bekalan minyak masak ini diperolehi dan menyimpan minyak masak melebihi had yang dibenarkan.

Kerajaan memberi peringatan kepada peniaga yang menggunakan/menyimpan minyak masak agar mendapatkan permit kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh KPDNHEP.

Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 telah mewajibkan mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kg perlu memiliki permit kebenaran daripada pihak Kementerian. Melalui penguatkuasaan permit ini, pemegang permit hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi seumpama ini daripada pemborong berlesen yang sah sahaja.

Kepada sesiapa yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

(Visited 566 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button