Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
ANDA pasti pernah dengar sejarah kisah Nabi Ibrahim dan anak sulungnya Nabi Ismail. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim melalui mimpi untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Perintah Allah ini telah dipersetujui oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Pengorbanan Nabi Ibrahim ini merupakan satu pengorbanan yang amat besar kerana Nabi Ibrahim telah tunggu dalam masa yang lama untuk mempunyai seorang anak. Selain daripada menghadapi ujian semasa berdakwah, Nabi Ibrahim juga menghadapi lain daripada Allah.
Seperti yang telah diceritakan tadi, sehingga umur Nabi Ibrahim 86 tahun, tiada cahaya mata dikurniakan kepadanya.
Namun Nabi Ibrahim masih terus berusaha dan tidak putus-putus berdoa kepada Allah.
“Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang anak) yang tergolong daripada orang-orang soleh,” (Ash-Shafaat [37]:100)
Doa Nabi Ibrahim telah didengar dan dimakbulkan oleh Allah. Allah memberi ganjaran seorang anak yang sangat penyabar kepadanya.
Sarah, isteri Nabi Ibrahim sebelum Hajar, tidak dikurniakan seorang anak sebelum kelahiran Nabi Ismail. Sarah telah meminta Nabi Ibrahim untuk berkahwin dengan Siti Hajar iaitu seorang puteri Raja Mesir.
Nabi Ibrahim mendapat berita gembira diturunkan dari langit bahawa Hajar telah mengandungkan seorang putera. Ismail merupakan nama yang telah dipilih untuk putera pertama Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berusia 86 tahun semasa Nabi Ismail dilahirkan mengikut kenyataan ahli-ahli sejarah.
Pengorbanan Sarah sebagai isteri juga telah mendapat kurniaan seorang anak daripada Allah. Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berusia 100 tahun.
Nabi Ibrahim membawa Ismail dan Siti Hajar ke Mekah. Pada masa itu, Mekah tidak ada penduduk dan tidak ada setitis air pun. Siti Hajar dan Ismail telah ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim dan dibekalkan dengan botol yang mengandungi air serta beg kecil yang mengandungi kurma.
Siti Hajar keliru dengan tindakan Nabi Ibrahim lalu bertanya berkali-kali namun tidak mendapat sebarang jawapan. Kemudian Nabi Ibrahim ditanya “Adakah Allah yang memerintahkanmu untuk melakukan perkara ini?”
Hati Hajar berasa lega setelah Nabi Ibrahim menjawab “Ya” dan yakin bahawa pasti ada sebab Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk berbuat demikian.
Nabi Ibrahim kemudian pergi ke suatu tempat yang jauh bernama Tsamiyah. Nabi Ibrahim menadah tangan sambal wajahnya menghadap ke Baitullah lalu berdoa:
“Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah yang langsung tidak mempunyai tanaman, berdekatan dengan rumahMu (Baitullah) yang terhormat, agar mereka mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia manusia supaya cenderung kepada mereka dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”. (Ibrahim [14]:37)
Setelah beberapa ketika, air yang ditinggalkan kepada Siti Hajar oleh Nabi Ibrahim telah habis. Siti Hajar terpaksa meninggalkan Ismail seketika untuk mencari sumber air.
Kemudian Siti Hajar berlari ke bukit yang paling dekat dengannya iaitu Bukit Safa untuk mencari jika ada orang di sana. Bagaimanapun tidak terdapat seorang pun yang Siti Hajar dapat lihat daripada bukit tersebut. Siti Hajar cuba sekali lagi dengan berlari ke Bukit Marwah untuk mencari jika ada orang di sana.
Perbuatan itu telah dilakukan oleh Siti Hajar sebanyak 7 kali. Beliau terdengar satu suara semasa kali terakhir mendekati Bukit Marwah. Siti Hajar berkata “Engkau telah memperdengarkan. Adakah Engkau dapat menolong?”
Terdapat malaikat berdekatan dengan sumber air zam-zam lalu menggalikan tanah menggunakan tumitnya (terdapat riwayat lain mengatakan dengan sayapnya sehingga terkeluar air.)
Dengan segera, Siti Hajar menghulurkan tangan dan mengambil air tersebut untuk dimasukkan ke dalam bekas. Siti Hajar minum air zam-zam tersebut lalu menyusui Ismail. Siti Hajar menjaga Ismail dengan baik dan membesar dengan sihat.
Nabi Ibrahim suka melakukan korban haiwan ternakan dengan banyak iaitu 1,000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta. Perbuatannya ini dikagumi oleh para malaikat. Nabi Ibrahim juga pernah berkata sebelum kelahiran Nabi Ismail:
“Semua yang menjadi qurbanku itu belumlah menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, kalau aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan juga di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah SWT”
Namun setelah Nabi Ismail dilahirkan, Nabi Ibrahim terlupa akan nazarnya itu. Perintah Allah untuk mengorbankan puteranya Ismail, datang dalam mimpi.
Pada 8 Zulhijjah (malam tarwiyah), satu perintah dalam mimpi Nabi Ibrahim berkata “Wahai Ibrahim tunaikanlah nazarmu”.
Nabi Ibrahim tidak pasti sama ada ini adalah perintah Allah atau mimpi dari syaitan. Disebabkan ini, ia dinamakan ‘tarwiyah’ yang bermaksud ‘fikir’ dalam bahasa Arab.
Pada hari keesokannya (9 Zulhijjah) dan juga hari ketiga (10 Zulhijjah), Nabi Ibrahim mempunyai mimpi yang sama.
9 Zulhijjah digelar ‘Arafah’ yang bermaksud ‘pasti’ kerana Nabi Ibrahim pasti bahawa mimpi tersebut datang daripada Allah.
10 Zulhijjah digelar ‘Nahrun’ yang bermaksud ‘sembelih’ kerana Nabi Ibrahim yakin bahawa Allah memerintahkan baginda untuk melakukan penyembelihan.
Kemudian, Nabi Ibrahim memberitahu perintah Allah kepada Nabi Ismail. Nabi Ismail yang berusia 7 tahun (ada ulama mengatakan 13 tahun) bersetuju.
Nabi Ibrahim dihasut oleh iblis untuk tidak melakukan sembelihan namun tidak dipedulikan oleh Nabi Ibrahim. Iblis cuba untuk menghasut Siti Hajar pula namun gagal kerana dia mendapat tahu bahawa itu adalah perintah Allah.
Selepas itu, Nabi Ismail pula cuba dihasut oleh Iblis. Ismail dan Hajar melontarkan Batu Pada Iblis Pada ketika itulah Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar melontar batu dan mencederakan mata iblis yang kemudiannya berlalu pergi.
Selepas itu, Nabi Ibrahim cuba untuk melakukan sembelihan terhadap Nabi Ismail namun gagal setelah beberapa percubaan. Leher Ismail tidak sedikit pun terluka dengan izin Allah.
Allah SWT kemudian berfirman:
“Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang yang berbuat baik”
Kemudian malaikat Jibril muncul bersama seekor kibas sebagai pengganti.
Firman Allah:
“Dan Kami tebus anaknya dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. (As Shaffaat:37:107)
Begitulah serba sedikit tentang sejarah ibadah korban yang kita perlu kita ingati. – SM