Bola SepakSukan

99 peratus pasukan Liga-M berjaya diswastakan

PERANCANGAN untuk menswastakan Liga Malaysia (Liga-M) sepenuhnya mengambil masa yang cukup panjang, dan kini usaha tersebut akhirnya mula menampakkan hasil.

Memetik laporan BERNAMA, sebanyak 99 peratus atau 19 pasukan telah lengkap proses penswastaan yang berakhir, semalam, melibatkan pemisahan daripada persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed dengan terdapat baki dua pasukan iaitu UKM FC dan Felda United FC, yang masih dalam proses penelitian dokumen.

“Felda United masih tidak mendapat kebenaran daripada Lembaga Pengarah Felda kerana mereka menggunakan nama Felda dan bukannya kebenaran daripada pengurusan pasukan Felda. Itu yang sedang kita tunggu,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan dan pengumuman Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC), semalam.

Mohd Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diketahui dalam masa terdekat, di mana sekiranya gagal diswastakan, pasukan berkenaan akan diturunkan ke Liga M3 Malaysia.

“Melalui penswastaan, pasukan akan mampu diperkasakan dan objektifnya adalah untuk elak isu seperti tidak bayar gaji dan tidak mencarum KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja).

“Kita buat pemisahan dan dengan itu kita pastikan ada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab kepada pasukan dan pentadbiran.

“Melalui FC, tanggungjawab besar bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi juga pengarah yang dilantik oleh pemegang saham.

“Sekiranya ada isu, contohnya kegagalan bayaran gaji dan KWSP, kita akan cari pengarah dan selepas itu pemegang saham,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, pihaknya akan menentukan tarikh untuk melantik CEO bagi NSFC, selain berharap nilai pasukan meningkat menerusi langkah penswastaan itu.

“Kita masih lagi sedang berbincang dengan syarikat dan individu yang ingin menaja dan seterusnya mengambil alih penswastaan ini. Terlalu awal untuk menamakan CEO,” katanya selepas menerima sumbangan kewangan dan penajaan berjumlah RM3.5 juta daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Negeri Roadstone Sdn Bhd dan Gemencheh Granite.

Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor pula memberitahu, laungan sorakan dan lagu tema ‘Hijau Kuning’ tetap kekal menjadi lambang atau jolokan pasukan Kedah, walaupun kini dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Darulaman (DFC) selepas penswastaan bagi musim 2021.

Beliau berkata, secara formaliti kepada penswastaan kelab bola sepak negeri, selain nama, beberapa perubahan perlu dilakukan seperti pertukaran logo, selaras dengan transformasi yang berlaku dalam pembentukan kelab berkenaan.

“Mengenai nama, kita namakan Darulaman Football Club. Terdapat pembaharuan kepada logo tapi kami kekalkan penggunaan warna di samping ciri-ciri lain seperti bola, bunga padi, perisai dan sebagainya.

“Saya sudah minta KFA untuk uruskan perkara ini dan kami akan adakan pelancaran logo baharu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.

Mengenai pemilikan saham DFC, Muhammad Sanusi menjelaskan, pihaknya sedia berbincang dengan sesiapa yang berminat untuk memiliki saham dalam DFC.

Berhubung hasrat Koperasi Anak Kedah Berhad untuk memiliki saham sebanyak 51 peratus dalam pemilikan pasukan Kedah menjelang penswastaan musim 2021, beliau berkata, pihaknya masih menunggu beberapa dokumen diperlukan daripada syarikat berkenaan – SM

(Visited 848 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button