Nasional

9 Mahasiswa UPSI bersaing Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022

SEMBILAN mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melangkah ke saringan akhir Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 , Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Anugerah Tokoh Siswa merupakan anugerah yang paling berprestij di arena Mahasiswa di Malaysia yang mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam ketokohan berorganisasi serta penganjuran program-program yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Secara keseluruhan kini Malaysia mencatatkan jumlah mahasiswa mencecah 1.2 juta orang yang mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta.

Barisan calon UPSI yang terpilih dalam saringan pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 di KPT.

Daripada jumlah itu, ribuan mahasiswa memohon untuk menerima anugerah, namun untuk peringkat akhir hanya tiga finalis bagi setiap katogeri dipilih.
Difahamkan tahun 2022 ini, tuan rumah bagi Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 akan diadakan di Universiti Putra Malaysia dan dijangka diadakan pada 17 Disember 2022 ini.
Sembilan mahasiswa UPSI yang layak ke pentas akhir yang terdiri daripada 7 katogeri berbeza ialah Muhammad Nur Naim Abdul Rehman dari Fakulti Pembangunan Manusia berjaya terpilih untuk Kategori Kepimpinan Sukarelawan Kemanusiaan), Mohamad Saifuddin Ab Shatar(Fakulti Pembangunan Manusia-Kategori Kepimpinan Sukarelawan Kesejahteraan Komuniti), Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin (Fakulti Teknikal dan Vokasional-Kategori Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar), Nurul Izzah Tukiran (Fakulti Sains dan Matematik-Kategori Kepimpinan Keusahawanan), Mohd Akmal Akasyah Abd Salam (Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan-Kategori Kepimpinan Sukan), Anis Adilah Amlaki (Fakulti Pembangunan Manusia- Kategori Khas Kepimpinan Ibnu Ummu Maktum), Amir Izwan Mat Hussain (Fakulti Bahasa dan Komunikasi), Siti Norfarhira Norhisham (FPE), Wafi Sofea Mohd Helmi (Fakulti Pengurusan dan Ekonomi -Kategori Badan Majlis Perwakilan Pelajar).

Muhammad Nur Naim bersyukur beliau sudah melepasi kategori Kategori Kepimpinan Sukarelawan Kemanusiaan untuk melayakannya bersaing bersama empat calon anugerah utama Tokoh Siswa kebangsaan 2022.
“Saya bersyukur berjaya sampai ke tahap ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah dan perlu memperlihatkan keterampilan dalam pembabitan diri dalam program yang mencorakkan kepemimpinan diri,” katanya.

Muhammad Nur Naim aktif dalam bidang Kesukarelawanan bersama ResQ Team UPSI (Presiden tahun 2019) , Majlis Anak Johor (Ikon Kepimpinan dan Sukarelawan) , mengasaskan foodbank luar kampus UPSI , mengetuai 43 misi banjir sejak 2017, Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 2019/2020, Timbalan Presiden PEMADAM UPSI 2018/2019, serta Exco Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI 2018/2019.

Selain itu dia memenangi Anugerah Ikon Siswa Johor (Kepimpinan) 2021, Finalis Anugerah Menteri Besar Johor 2021, Anugerah Khas Kepimpinan Alumni Dr Ahmad Sani Araby 2021 serta Anugerah Tokoh Sukarelawan UPSI 2021.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata UPSI mendominasi anugerah berprestij berkenaan pada 2017 apabila seramai lima mahasiswanya memenangi anugerah tokoh siswa dalam beberapa kategori.

Md Amin menganggap penganugerahan Tokoh Siswa Kebangsaan menjadi idaman mahasiswa kerana ia mencerminkan keupayaan universiti melahirkan graduan berfikiran kritis, inovatif, pintar, dan mempunyai daya serta nilai kepimpinan yang tinggi dan berketerampilan.

Mahasiswa UPSI yang bakal menjadi pendidik sentiasa berusaha memantapkan keupayaan kurikulum akademik, kokurikulum serta pelbagai kemahiran insaniah sebagai persiapan diri sebelum berjaya mendapatkan tempat dalam pasaran tenaga kerja sama ada di dalam mahupun di luar negara yang penuh persaingan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button