
Sasaran jualan RM10 Juta! anjung Syawal 2025 bukti Bazar Aidilfitri masih bernafas
PUTRAJAYA – Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang, Anjung Syawal di Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025, telah membuka tirainya semalam, sehari sebelum memasuki bulan Ramadan.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, selaku penganjur, menjelaskan bahawa pembukaan awal ini adalah atas permintaan Perbadanan Putrajaya bagi memudahkan para peniaga membuat persiapan lebih awal.

“Perbadanan meminta kami membuka bazar lebih awal bagi memberi ruang kepada peniaga untuk bersiap sedia. Selalunya, apabila Ramadan bermula, mereka mungkin lebih sibuk dan keletihan, selain perlu meluangkan masa bersama keluarga serta menguruskan keperluan anak-anak.
”Pembukaan lebih awal juga membantu mereka merancang tenaga kerja dan stok barang dengan lebih baik. Tradisi ini sebenarnya telah dikekalkan oleh pihak Perbadanan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Anjung Syawal Festival amadan Putrajaya 2025 Tampil Kelainan dengan Lagu Tema dan Muzik Video
Bazar Aidilfitri terbesar ini turut melakar sejarah apabila buat pertama kali memperkenalkan lagu tema dan muzik video sejak penganjurannya 13 tahun lalu.
Rayme berkata, pengenalan lagu tema ini adalah satu usaha untuk memberi kesegaran kepada Anjung Syawal serta menambah kemeriahan kepada orang ramai.
“Kita tidak boleh menafikan pengaruh selebriti dan pempengaruh di media sosial yang memainkan peranan penting dalam menyerikan Anjung Syawal. Justeru, menerusi lagu dan muzik video, ia bukan sahaja menyampaikan kemeriahan sambutan Ramadan tetapi juga mempromosikan persiapan Aidilfitri,” katanya pada majlis pelancaran Anjung Syawal di Presint 3, Dataran Putrajaya, malam ini.
Pada majlis itu, lagu tema dan muzik video Anjung Syawal bertajuk Raya Sebenarnya, nyanyian duet Rayme bersama penyampai radio Feeya Iskandar atau Cik Piah, diperkenalkan secara rasmi. Turut dilancarkan ialah kolaborasi Anjung Syawal@Yang Riang Raya bersama pempengaruh popular Pinn Yang serta penglibatan selebriti yang berniaga, termasuk Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.
Anjung Syawal yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya sempena FRP 2025 kembali untuk tahun ke-13 bermula malam ini sehingga malam raya. Bertemakan Memori Ramadan, Aspirasi Syawal, pelbagai aktiviti dan reruai akan diadakan bagi menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun-temurun di negara ini.

Rayme yang pernah menyertai pertandingan realiti All Together Now pada 2022 berkata, lagu Raya Sebenarnya ciptaan Choky Nainggolan dengan lirik oleh beliau sendiri menampilkan elemen pop agar lebih mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat. Muzik videonya, yang menjalani penggambaran di Klang, Selangor, siap dalam tempoh sehari hasil kerjasama baik antara pempengaruh dan selebriti yang terlibat.
“Tiadalah istilah syok sendiri sebagai penganjur untuk menyanyikan lagu tema ini. Saya sememangnya seorang penyanyi, dan tanggungjawab saya bukan sekadar menyampaikan lagu tetapi juga mempromosikan Anjung Syawal menerusi platform media sosial. Malah, rakan duet saya, Cik Piah, juga seorang penyanyi berbakat besar yang serba boleh,” jelasnya.
Lagu Raya Sebenarnya dimuatkan dalam EP lagu raya berjudul Simfoni Anjung Syawal dan boleh didengari di semua platform digital bermula 7 Mac 2025, manakala muzik videonya akan ditayangkan di saluran YouTube rasmi Rayme Zainal mulai 28 Februari 2025.
Sasaran Jualan RM10 Juta dan Sambutan Luar Biasa
Anjung Syawal tahun ini menyasarkan jualan keseluruhan bernilai RM10 juta, dengan setiap lot niaga berpotensi menjana sekurang-kurangnya RM30,000. Sambutan luar biasa diterima apabila semua 320 lot niaga habis terjual lebih awal, melepasi sasaran awal sebanyak 292 lot niaga.
“Tawaran lot niaga ini hanya dibuka secara rasmi pada awal Januari lalu, namun ia mendapat sambutan hangat, menepis dakwaan bahawa Bazar Aidilfitri tahun ini kurang meriah. Sebaliknya, Anjung Syawal terus menjadi destinasi pilihan peniaga dan pengunjung,” katanya.
Mengulas lanjut, Rayme berkata konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi turut menggabungkan elemen moden untuk menarik perhatian generasi muda.
“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi sambil menyesuaikannya dengan inovasi semasa. Justeru, tahun ini kami memperkenalkan segmen Pangkin Seni dan Serambi Santai bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang istirahat selesa untuk pengunjung.”
Bagi mengekalkan daya tarikan, khemah lutsinar dengan pencahayaan khas turut disediakan bagi membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama keluarga dalam suasana lebih selesa. Selain itu, lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar Presint 3, Putrajaya, bagi menampung kehadiran pengunjung yang dijangka meningkat.
Rayme turut menekankan keistimewaan lokasi Anjung Syawal yang berdekatan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, memudahkan pengunjung menunaikan solat berjemaah dan solat tarawih.
“Kami berharap Anjung Syawal bukan sahaja menjadi pusat jualan dan perniagaan, tetapi juga ruang untuk masyarakat menikmati kemeriahan Ramadan dan Syawal dalam suasana yang penuh budaya serta tradisi,” katanya.