Nasional

62 kes varian Omicron dilaporkan di Malaysia

TERDAPAT sebanyak 49 kes Covid-19 daripada varian Omicron dilaporkan di Malaysia menjadikan jumlah kumulatif kepada 62 kes, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61 kes adalah kes jangkitan import dan satu kes dipercayai dan masih dalam siasatan adalah penularan tempatan yang dilaporkan di Sarawak pada semalam.

Khairy Jamaluddin berkata, kes jangkitan tempatan melibatkan seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

“Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun ini dan punca jangkitan masih belum dapat dikenalpasti manakala siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,” katanya.

Tambahnya, keadaan lelaki itu adalah stabil dan juga sudah lengkap divaksinasi.

Kontak rapat juga telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial.

Mereka diberi arahan untuk kuarantin di pusat kuarantin bagi tempoh 14 hari manakala keputusan ujian sampel pertama mereka adalah negatif Covid-19.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin mengatakan Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah melakukan ujian PCR Genotyping Assay terhadap 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong daripada 15 Disember hingga 21 Disember.

“Daripada jumlah ini, 60 sampel menunjukkan kemungkinan (presumptive) varian Omicron.

“Pada 24 Disember 2021, 49 daripada 60 sampel ‘presumptive’ telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR,” katanya.

KKM dan agensi-agensi lain telah mengambil tindakan untuk memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi. – SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button