PENEMUAN 528 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM19 juta, Rabu lalu sekaligus membongkar sindiket yang menjadikan Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Padang Besar sebagai lokasi transit dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, lokasi simpanan dadah ini terletak hanya dua kilometer dari jalan besar dan tiga kilometer dari sempadan Malaysia-Thai.
Beliau menjelaskan, pembongkaran rampasan dadah terbesar di Perlis tahun ini adalah hasil siasatan JSJN Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Katanya, ia susulan dengan penahanan seorang lelaki Melayu tempatan berusia 35 tahun pada 10 Januari lalu.
“Hasil soal siasat suspek telah mendedahkan lokasi simpanan dadah ini di mana ia diletakkan di dalam troli besi yang ditutup dengan daun dan ranting kering bagi mengelak dikesan,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna IPK Perlis di Kangar hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Timbalannya, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin.
Kamarudin berkata, hasil pemeriksaan ditemukan 20 guni berjahit di mana di dalamnya terdapat sejumlah 480 bungkusan plastik teh cina “Guang Yin Wang” yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Rampasan ini telah berjaya menyelamatkan syabu ini dari digunakan oleh 2.6 juta penagih,”katanya.
Katanya, dipercayai sindiket ini yang dipercayai aktif sejak tahun lalu ini telah membawa bekalan dadah dari negara jiran secara sedikit-sedikit dengan menggunakan laluan tikus di sempadan.
Kamarudin berkata, susulan penemuan ini tiga lagi lelaki Melayu tempatan ditahan yang berusia dari 21 hingga 42 tahun.
Katanya, keempat suspek telah ditahan reman pada 10 dan 11 Januari lalu selama seminggu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana JSJN menyita aset suspek dianggar bernilai RM515,545.
Beliau menambah, hasil saringan awal mendapati kedua suspek positif ketamine dan methamphetamine.
Selain itu, katanya, semakan rekod jenayah juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Kita akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kamarudin berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di sekeliling mereka dengan menghubungib HOTLINE JSJN di talian 012-2087222. – SM
BACA 468.8kg ganja & 10kg syabu berjaya dirampas polis Bukit Aman