SEBANYAK 40,290 komputer riba dan akses internet selama setahun akan selesai diagihkan selewat-lewatnya 12 Jun depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pemberian laptop dan akses internet itu adalah di bawah Inisiatif Cerdik-Projek Rintis Peranti.
“Menerusi program tersebut, sebanyak 150,000 murid dalam kategori B40 akan menerima komputer riba dan akses internet selama setahun.
“Setakat ini, sebanyak 12,887 unit telah diagihkan ke 95 buah sekolah dan jumlah tersebut akan meningkat kepada 40,290 menjelang 12 Jun depan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan Kementerian Pendidikan bertindak senyap berkenaan program inisiatif tersebut.
Menurut Dr. Radzi, dia juga memberitahu yang menjelang akhir bulan September depan, semua murid yang disasarkan akan menerima kemudahan tersebut. -SM