Nasional

40,000 rumah untuk B40, harga bawah RM200,000

BERITA baik untuk golongan B40 di Wilayah Persekutuan apabila kerajaan akan membina 40,000 unit rumah Residensi Prihatin berharga RM200,000 ke bawah di Kuala Lumpur dan Putrajaya, khusus untuk golongan itu.

Bagaimanapun ia hanya untuk mereka yang mahu memiliki rumah buat pertama kali.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, 12,253 unit rumah tersebut sedang dalam perancangan untuk dibina di Putrajaya.

Katanya, ia membabitkan 10 tapak projek di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19. Dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Rumah tersebut katanya, mempunyai minimum 70 meter persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu dan makan serta laman, selain berbentuk rumah berstrata.

“Bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat ini, permohonan Residensi Prihatin ini memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah.

“Kita memberi keutamaan kepada penjawat awam dan mereka yang baru mula untuk membina keluarga terutama petugas barisan hadapan sama ada yang tinggal atau bekerja di Wilayah Persekutuan, selain akan turut mempertimbangkan mereka yang berdekatan seperti di Bangi dan Cyberjaya,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek Residensi Prihatin di Putrajaya secara maya, hari ini.

Katanya, projek itu akan membantu pembeli terutama pasangan muda yang tidak mampu untuk membayar deposit 10 peratus memiliki kediaman.

“Selain itu, konsep pembelian dengan menjadi penyewa terlebih dulu juga akan dilaksanakan, yang mana selepas menjadi penyewa dengan bayaran sewa yang rendah dalam tempoh lima tahun contohnya, ia kemudian akan ditukar kepada bayaran sebagai pembeli dengan bayaran bulanan yang lebih tinggi,” katanya.

Individu yang layak boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my. bermula esok dan ia terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan dan keutamaan diberikan kepada pemohon belia yang sudah berkahwin. – SM

GALERI FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button