Seramai 40 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dari keluarga miskin dan tidak berkemampuan yang dicadang Pusat Islam universiti ini masing-masing menerima sumbangan RM200 setiap seorang daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs di Masjid An-Nur UiTM Kampus Arau sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-11 bagi tahun 2023.
Ia melibatkan jumlah keseluruhan sumbangan berjumlah RM8,000 pada kali ini.
Pada program berkenaan, Pemangku Raja bertitah supaya pihak UiTM Perlis terus mengeratkan hubungan serta memperbanyakkan program-program bersama Persatuan Alumni UiTM dan juga alumni UiTM Perlis itu sendiri.
Titah Baginda, ini kerana majoriti alumni sudah mampu untuk menjana pendapatan sendiri untuk disarankan sebagai sumber wakaf termasuklah sumber inspirasi kepada pelajar.
“Alumni juga turut boleh bertindak sebagai ‘duta’ UiTM Perlis untuk membantu memberikan pendedahan dan penglibatan yang lebih luas tentang aktiviti-aktiviti universiti kepada masyarakat di luar sana,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yakin aspek keceriaan, kebersihan dan kehijauan kampus akan terus diperkasakan dari masa ke semasa.
Di samping itu titah Baginda, UiTM Perlis juga diharap dapat terus memantap dan meneruskan lagi program-program antarabangsa seperti program pertukaran pelajar bersama IPT-IPT serta sekolah-sekolah di Thailand dan Indonesia.
“Sebagai contoh program sedia ada bersama Wittaya Muslim School di Phuket juga perlu diperhebatkan,” titah Baginda. – SM