NasionalNegeri

40 kucing terbiar di Medan Selera Sena diselamatkan

ADA yang marah, ada yang tenang ketika diambil untuk dimasukkan di dalam sangkar. Bagaimanapun apabila “dikutip” sekalipun dalam keadaan terpaksa, ia sebenarnya sangat bermakna kerana di hadapan telah ada sinar penghidupan yang lebih baik dan selesa menanti.

Beruntunglah kucing-kucing terbiar ini sekalipun masing-masing menjerit, meronta, mencakar kerana terkejut apabila ditempatkan di dalam satu sangkar bersama ketika dikutip.

Sebahagian kucing yang dikutip pada Operasi Bersepadu Menyelamat Kucing Terbiar di Medan Selera Sena di Pasar Besar Sena Kangar.

Bunyi hiruk pikuk pekikan haiwan manja yang berubah menjadi garang ini langsung tidak mematahkan semangat anggota penguatkuasa dan sukarelawan pada Operasi Bersepadu Menyelamat Kucing Terbiar di Medan Selera Sena di Pasar Besar Sena Kangar, semalam.

Operasi ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dengan kerjasama Bustana Kucing dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis.

Mohd Taufik Md Zain

Menurut Koordinator Bustana Kucing, Mohd Taufik Md Zain kira-kira 40 kucing telah dikutip pada operasi berkenaan yang mengambill masa tidak sampai sejam.

“Semasa dikutip ini kita letakkan mereka di sangkar berasingan iaitu jantan, betina, anak dan ibu mengandung,” katanya.

Beliau berkata, operasi terakhir anjuran MPK ini dilakukan sejak tiga bulan lalu.

“Kalau ada aduan orang ramai baharu operasi dijalankan,” katanya.

Mohd Taufik berkata, sebaik sampai di Bustana Kucing yang terletak di Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat, kesemua kucing ini akan menjalani pemeriksaan terlebih dahulu.

“Kita akan asingkan mengikut jantina, jika ada kutu kita akan bersihkan dahulu, mana sakit di letakkan di wad berkaitan dan yang sihat akan dibiarkan bebas untuk belajar menyesuaikan diri di Bustana,” katanya.

Katanya, Bustana mempunyai sebuah klinik yang mengandungi empat wad iaitu ibu dan anak, sapphoro, ICU dan sakit umum.

Kucing yang dikutip pada Operasi Bersepadu Menyelamat Kucing Terbiar di Medan Selera Sena di Pasar Besar Sena Kangar siap diangkut untuk dibawa ke Bustana Kucing di Taman Ular dan Reptilia di Sungai Batu Pahat.

Setakat ini katanya Bustana yang dibuka lapan tahun lalu itu kini menempatkan 2,200 ekor kucing di dalam satu sangkar besar yang dikendalikan oleh 30 kakitangan tetap.

Beliau berkata, sebanyak 900 kilogram makanan kucing disediakan setiap hari dan 30 kilogram ayam rebus seminggu sekali atas sumbangan orang ramai.

Mohd Taufik berkata, pihaknya juga menerima kucing dari individu tetapi menggenakan bayaran RM50 seekor. – SM

BACA Cik Potek kucing “mat rempit” yang setia

BACA Bekas tentera didenda RM20,000 tembak kucing jiran

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button