Kesihatan

37.7 juta pengidap HIV di seluruh dunia, 1.5 juta jangkitan baharu tahun lalu

SERAMAI 1.5 juta orang di seluruh dunia menjadi penghidap baharu HIV menjadikan jumlah keseluruhan pesakit HIV adalah seramai 37.7 juta orang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seramai 680,000 orang meninggal dunia tahun lalu disebabkan penyakit yang berkaitan dengan HIV.

Pun begitu, melalui terapi antiretroviral (ART) sejumlah 73 peratus daripada pengidap HIV boleh bertahan dan menjalani kehidupan lebih lama.

Meraikan Hari AIDS Sedunia hari ini, WHO menyeru semua pemimpin dan masyarakat untuk bersama-sama menentang ketidaksamaan yang dihadapi oleh pesakit HIV.

Melalui tema ‘Tamatkan ketidaksamaan, Tamatkan AIDS’, mereka juga diharap dapat membantu lebih ramai pesakit yang tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Ketua Pengarah WHO Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, walaupun dunia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam beberapa dekad kebelakangan ini, sasaran global yang penting untuk tahun 2020 tidak tercapai.

“Sementara terdapat negara yang memperlihatkan kemajuan dalam melawan HIV namun masih banyak lagi yang ketinggalan di belakang.

“Walaupun sebelum pandemik Covid-19 berlaku, masih banyak populasi yang berkaitan tidak dicapai bagi melakukan ujian HIV sebagai langkah pencegahan dan rawatan awal,” katanya.

Kini, COVID-19 memburukkan lagi ketidaksamaan dan gangguan kepada perkhidmatan kesihatan menjadikan kehidupan ramai orang yang hidup dengan HIV lebih mencabar.

Perpecahan, jurang perbezaan dan mengabaikan hak asasi manusia adalah antara kegagalan yang membolehkan HIV menjadi dan kekal sebagai krisis kesihatan global.

Menurut Dr. Tedros, dunia telah mempunyai peralatan dan perubatan yang boleh mencegah penularan HIV jika digunakan dengan berkesan.

Justeru, setiap pemimpin negara dan masyarakat perlu mengunakan peralatan dan perubatan yang ada untuk mengakhiri jangkitan HIV dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button