Nasional

30 rumah atas air musnah dalam kebakaran

KIRA-KIRA 30 rumah setinggan atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, Sandakan, pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan Martin Thomas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.55 pagi dan sepasukan bomba dengan empat jentera tiba di tempat kejadian 17 minit kemudian.

“Anggaran keluasan kebakaran adalah 100 x 200 meter dengan anggaran rumah terbakar sebanyak 30 buah jenis tidak kekal.

“Kami mengambil sumber air daripada tangki air sejauh 1,300 kaki (396.24 meter) dari lokasi kebakaran kerana ketika kejadian air laut telah surut,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal pada jam 9.17 pagi dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran dalam siasatan.


Martin berkata, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung turut melaksanakan “firebreak” iaitu kaedah memutuskan api daripada merebak dengan merobohkan rumah dan jambatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong, Alias Sani berkata kebanyakan mangsa akan ditempatkan di dewan serbaguna Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, manakala sebahagian kecil ditempatkan di balai raya kampung terjejas dan rumah saudara-mara.

Seorang penduduk Mohd Zam Abdul, 60, yang tinggal di kampung itu sejak lebih 20 tahun, berkata kebakaran itu adalah yang kedua berlaku selepas 2018.

Beliau yang tinggal bersama isteri dan enam anaknya berjaya menyelamatkan diri bersama enam ekor kucing peliharaan mereka.

Beliau turut membantu penduduk kampung lain untuk merobohkan rumah atas air terbabit bagi mengelak kebakaran merebak ke rumah lain di kampung itu.– BERNAMA

(Visited 136 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button