NasionalNegeri

3 Bazaar Ramadan FAMA Perlis catat jualan RM1.3 juta tempoh 22 hari

Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama Syed Sirajuddin Areeb Putra melakukan simbolik mengacau bubur lambuk bersama Mohd Anzara (kanan sekali) dan Mohd Nazim (kiri sekali) sempena Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA-MPK-MAIPs @ Dataran MAIPs, semalam. – Gambar Ihsan FAMA Perlis

Tiga lokasi Bazaar Ramadan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Perlis berjaya mencatatkan nilai jualan RM1.3 juta dalam tempoh 22 hari sejak dilancarkan pada 13 Mac lalu.

Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata, ia melibatkan 160 usahawan di Bazaar Ramadan Dataran MAIPs, Kangar, Bazaar Ramadan UniMAP Kampus Pauh Putra dan Bazaar Ramadan Pasar Tani Kekal (PTK) Simpang Empat.

“Nilai jualan di Bazaar Ramadan Dataran MAIPs saja mencatatkan nilai jualan RM500,000 yang melibatkan 38 usahawan,” katanya ketika memberi sembah taklimat Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA-MPK-MAIPs @ Dataran MAIPs, petang semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bergambar kenangan dengan hadirin sempena Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA-MPK-MAIPs @ Dataran MAIPs, petang semalam. – Gambar Ihsan FAMA Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke program berkenaan.

Baginda diiringi oleh anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Yang Dipertua MPK, Norazlan Yahaya.

Mohd Anzara berkata, FAMA menganjurkan program
Sentuhan Kasih Ramadan bagi mengimarahkan bulan mulia ini dan menggalakkan usahawan menyumbang menerusi aktiviti Khidmat Sosial Korporat (CSR).

Beliau berkata, sehingga kini 300 asnaf dan jemaah dari lima masjid di negeri ini mendapat faedah dari program ini.

Mohd Anzara berkata, dua lagi masjid iaitu Masjid Al Rashid, Kubang Perun dan Masjid Al Ridza, Panggas menerima 50 Kit Sentuhan Ramadan.

Mohd Anzara memberikan sembah taklimat kepada Raja Muda Perlis sempena Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA-MPK-MAIPs @ Dataran MAIPs, petang semalam. – Gambar Ihsan FAMA Perlis

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan Kit Sentuhan Kasih Ramadan kepada Imam Masjid Al Rashid, Kubang Perun, Ahmad Ismail dan Imam Masjid Al Ridza Panggas, Kasim Emat.

Baginda dan anakanda juga berkenan melakukan simbolik mengacau bubur lambuk. – SM

BACA Penganjur Glam Bazar Ramadan Klebang nafi kenakan caj parkir

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button