Nasional

27 pegawai Imigresen ditahan terlibat sindiket pemalsuan cop keluar masuk negara

SEBANYAK 27 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia antara 46 individu yang ditahan dalam Op Selat kerana terlibat dengan sindiket pemalsuan cop keluar dan masuk sempadan.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 46 tahun ditahan di sekitar Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching menerusi Ops Selat.

Sumber yang memberitahu Berita Harian berkata, sindiket menyalahgunakan cop berkenaan pada ‘pasport terbang’ dan kaunter khas di pintu masuk negara.

Katanya, menerusi pasport terbang, ejen akan mengumpul dokumen perjalanan pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh.

“Ia akan diberikan cop keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan itu disambung.

“Bagaimanapun, hanya pasport saja yang sampai di pejabat Imigresen tanpa kehadiran warga asing terbabit sebagai pengesahan keluar atau masuk seperti mana yang disyaratkan,” katanya seperti dilaporkan.

Selain 27 pegawai Imigresen, turut ditahan ialah 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah.

Jelas sumber itu lagi, kaedah kedua pula ialah kaunter khas atau ‘setting counter’ yang biasa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 membabitkan PATI yang disenarai hitam dan sudah tamat tempoh visa.

“Kaedah kaunter khas ini mengenakan bayaran antara RM500 ke RM6,000 seorang untuk mereka bebas keluar masuk dan pulang ke negara masing-masing,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button