Nasionalpilihan

Apa yang silap dengan peraturan dan undang-undang?

Surat pembaca

Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kebanyakan undang-undang dari United Kingdom diimport dan kemudian disesuaikan menjadi perundangan tempatan atau digunakan sebagai undang-undang.

Undang-undang Malaysia juga berasaskan bidang kuasa lain seperti Australia dan India misalnya undang-undang jenayah iaitu Kanun Prosedur Jenayah, berasaskan kanun jenayah India.

Menerusi peruntukan undang-undang sedia ada yang turut melalui proses transformasi mengikut keadaan semasa, semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa yang terkecuali daripada perkara ini sekiranya ingin hidup dalam sebuah masyarakat yang aman dan damai.

Contoh mudah, Ali (bukan nama sebenar) sengaja melanggar lampu isyarat merah ketika sedang memandu di sebuah bandar. Peraturan dan undang-undang jalan raya sudah jelas menunjukkan dia melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, tidak semua pemandu di negara ini mempunyai sikap seperti Ali kerana ada juga pemandu yang berhemah dan tidak mementingkan diri sendiri semata-mata.

Begitu juga apa jua peraturan, undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah disusun dengan kemas dan dimaklumkan kepada umum sama ada secara lisan dan bertulis namun satu perkara yang mungkin sukar dikawal ialah sikap individu itu sendiri.

Kadang-kala dengan segala macam peraturan yang ada, kita tidak mampu menghalang daripada seseorang individu itu mahu melakukan kesalahan atau cuba mencari peluang untuk melakukan kesalahan tanpa arahan sesiapa.

Semuanya ini berlaku diluar kawalan kita sendiri tidak kiralah sama ada seseorang individu itu bekerja sendiri, pekerja swasta ataupun kakitangan awam.

Daripada kes-kes kecil seperti mencuri sehingga kepada kes penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, kecurian atau melakukan tuntutan palsu membabitkan orang biasa hingga kepada pemimpin negara juga sering dilaporkan oleh media massa meskipun negara mempunyai undang-undang yang ‘mengikat’ mereka daripada melakukan kesalahan.

Melihat kepada isu penyalahgunaan kuasa misalnya, ada juga kes rasuah yang dilaporkan oleh media membabitkan agensi penguatkuasaan seperti polis, kes tahanan mati dalam lokap dan sebagainya yang sedikit sebanyak ‘menconteng arang’ kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri yang memiliki jumlah anggota melebihi 100,000 orang.

Jabatan Imigresen Malaysia juga kadang-kala terpalit dengan isu rasuah yang membabitkan anggotanya yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pekerja asing di pintu sempadan negara.

Jadi, persoalannya ialah dimanakah silapnya segala peraturan dan undang-undang negara ini? Adakah undang-undang ini tidak cukup memadai dan boleh dipandang ‘mudah’ kerana ianya ciptaan manusia dan bukannya ciptaan Tuhan.

Ramai juga yang beranggapan bahawa hukuman kepada peraturan atau undang-undang berkaitan salah guna kuasa dan rasuah yang sedia ada tidak begitu berat menyebabkan mereka berani melakukannya.

Bagaimanapun, kita tidak harus mudah menuding jari kepada mana-mana pihaknya sekiranya berlaku kes rasuah atau salah guna kuasa di mana-mana agensi penguatkuasa sendiri kerana kesalahan itu mungkin dilakukan atas kapasiti individu itu sendiri seumpama dalam setandan pisang tidak semua buahnya elok.

Setiap agensi penguatkuasa mempunyai kaedah siasatan dalaman tersendiri, namun harus dipuji apabila mereka yang terbabit ditahan dalam tempoh singkat sekali gus membuktikan mereka tidak berkompromi menahan sesiapa sahaja termasuk pegawai sendiri yang melakukan kesalahan.

Memetik satu temubual media dengan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengulas mengenai kes tangkapan ramai pegawai dan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara berkata, pihaknya tidak menafikan ada antara mereka yang nakal tetapi ramai yang baik daripada yang nakal.

Beliau berpendapat, dengan jumlah 1.6 juta penjawat awam, tidak semua daripada mereka jahat kerana yang baik itu lebih ramai dan mereka sangat benci kepada yang nakal itu.

Kata-kata beliau ada kebenarannya kerana setiap orang yang didapati melanggar sebarang jenis peruntukan undang-undang perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira latar belakang mereka.

Meskipun semua pihak terikat kepada undang-undang, namun pelanggaran undang-undang boleh berlaku diatas faktor kelemahan individu itu sendiri namun aspek paling penting ialah seseorang individu itu harus memiliki integriti dan disiplin diri yang tinggi tidak kira dimana mereka bekerja atau berada, tidak kira masa dan tempat.

Mat Zimbo

(Visited 616 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button