NasionalPendidikan

2026 sesi persekolahan kembali bermula Januari

KENA tunggu tahun 2026, baru sesi persekolahan akan bermula Januari. Lama lagi nak kena tunggu dan sepatutnya, boleh dipercepatkan oleh pihak kementerian dan sekali gus, diselaraskan semula sesi persekolahan bermula pada bulan Januari.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan akan memulakan semula sesi persekolahan pada Januari menjelang tahun 2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan telah memulakan usaha untuk awalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada Februari 2025.

“Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada tahun 2026.

“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan Januari akan ditunaikan pada tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan lisan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) yang meminta KPM menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula awal Januari.

Sebelum ini, KPM dilaporkan memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Fadhlina berkata, susulan pengumuman itu, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan.

“Dengan pengumuman ini, KPM memastikan kesejahteraan semua pihak diberi keutamaan bagi mencapai hasrat Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera,” ujarnya.

Menurutnya, KPM juga telah melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

“KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” katanya. – SM

 

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button