2 kertas SPM ditangguhkan ke April
PASIR MAS: Kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kelantan telah ditangguhkan ke sesi kedua pada April berikutan sekolah dilanda banjir, kata menteri pendidikan Radzi Jidin.
Tujuh sekolah yang terjejas di daerah Pasir Mas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) AL-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol.
Mereka dijadual menduduki dua kertas itu esok (2 Mac) dan pada Khamis tetapi peperiksaan telah ditangguhkan ke April pada tarikh yang belum diputuskan, katanya.
“Kementerian Pendidikan memutuskan sekolah berkenaan tidak boleh dijadikan pusat peperiksaan kerana kawasan itu dinaiki air, menghalang calon dan pegawai peperiksaan memasuki premis berkenaan.
“Pihak sekolah sudah menghubungi calon terbabit. Dijangka kertas peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya pada sidang media selepas melawat SMK Agama Lati di Rantau Panjang di sini hari ini.
Radzi turut menggesa calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk pergi ke sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua mereka.
“Mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai situasi semasa dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh mereka hadiri,” katanya.
Beliau juga berkata calon SPM 2021 yang terjejas banjir dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai pakaian sekolah.
“Tidak mengapa bagi calon yang terjejas memakai apa sahaja pakaian yang ada. Dalam situasi krisis, kita tidak boleh terlalu memilih.
“Adalah penting bagi pelajar untuk bertenang ketika pergi ke pusat peperiksaan,” katanya.
Radzi berkata keadaan di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terjejas boleh menduduki kertas mereka di pusat peperiksaan alternatif.