Nasional

1BestariNet gagal sebab kelemahan, kecuaian tadbir urus – PAC

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menjalankan siasatan program 1BestariNet, setelah laporan awak mendapati terdapat kelemahan dan kecuaian tadbir urus yang membawa kegagalan projek tersebut.

Projek dilaksanakan oleh YTL Communications Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, 1BestariNet  sepatutnya melengkapkan 10,000 sekolah dengan kemudahan internet 4G dan pembelajaran maya berkelajuan tinggi.

Ketua PAC Wong Kah Woh dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini memaklumkan bahawa jawatankuasa mendapati objektif projek tersebut masih belum tercapai.

“Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Pemerolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSUPKK) melaporkan dalam analisisnya mengenai kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai,” katanya.

Jawatankuasa ini secara khusus akan mengkaji apa yang berlaku antara 2011 dan 2019, di mana sejumlah RM2.71 bilion dibelanjakan.


Keseluruhan projek 15 tahun bernilai RM4.47 bilion dan kini dalam fasa ketiga, dengan tarikh pelaksanaan sepenuhnya ditetapkan pada tahun 2026.

Terdahulu pada tahun 2016, PAC telah menyiasat projek tersebut dan salah satu penemuannya adalah YTL telah membayar sewa jauh lebih rendah untuk tapak menara telekomunikasi berikutan “campur tangan” oleh menteri bagi pihak konglomerat.

Sementara itu PAC juga membuat keputusan untuk menjalankan prosiding terhadap pelaksanaan pertukaran tanah (land swap) dari tahun 1995 hingga 2018 di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kah Woh berkata, JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes land swap yang melibatkan 2,932 ekar tanah kerajaan dengan nilai tanah berjumlah RM4.8 juta.

“PAC parlimen dimaklumkan antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini adalah berkaitan dengan kerugian kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan,” katanya.

Selain itu katanya, PAC juga akan mengadakan prosiding terhadap pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) dari 2012 hingga 2018 di bawah kementerian pengangkutan.

Katanya, projek AES adalah satu inisiatif sistem penguatkuasaan dalam menangani isu kemalangan jalan raya di negara ini.

“Siasatan dibuat terhadap kewajaran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap mengambilalihan syarikat konsesi AES yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juga,” kata beliau.

Sehubungan itu tambahnya, PAC akan memulakan prosiding terhadap isu land swap dengan memanggil saksi pertama iaitu ketua setiausaha kementerian pertahanan selaku pegawai pengawal kementerian bagi memberi keterangan dan penjelasan pada 20 Nov depan.

“Selepas prosiding ini, PAC akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi-saksi lain yang terlibat dalam isu berkenaan.

 

 

 

(Visited 93 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button