Nasionalpilihan

19 tahun Maritim Malaysia laksana tanggungjawab jaga keselamatan perairan negara

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sejak ia ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan adanya Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

“Melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Maritim Malaysia mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi selain menyelenggara aset-aset sedia ada agar Agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN Dr. Gafar Abu Bakar serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut tentang aset baharu Maritim Malaysia, Dr. Shamsul Anuar memaklumkan selepas Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk Agensi ini mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Selain pertambahan aset, Maritim Malaysia turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

“Ini bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini agar semua pasukan keselamatan negara termasuk Maritim Malaysia dapat berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan bilion ringgit,” katanya.

Untuk rekod pada tahun 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pihak Agensi ini di kawasan perairan negara.

Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira  RM101.9 Juta.

Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi membabitkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini.

Bersempena HUT19, tema “Maritim Perkasa Melestarikan Madani” telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan Agensi ini dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan Negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Kemeriahan sambutan pada tahun ini telah diserikan dengan Majlis Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid, Program Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Penyampaian Anugerah Khas Maritim Malaysia (AKMM) dan penyampaian Reben Penghargaan Khas Ketua Pengarah (RKP) kepada tiga warganya yang telah terpilih. – SM

Artikel berkaitan > Maritim Malaysia perketat kawalan sempadan perairan negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button