Nasional

15 lelaki ditahan kerana gaduh berebut kawasan

POLIS menahan 15 lelaki yang juga ahli Thug Geng Lembah Jaya kerana disyakit terlibat dalam pergaduhan di Jalan 4/33, Pandan Indah, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah terserempak dengan sekumpulan orang lelaki dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam pergaduhan.

“Kita terus membuat tangkapan iaitu sebanyak 15 lelaki berumur lingkungan 17 hingga 35 tahun.

“Empat daripada yang ditahan mempunyai rekod lampau dalam kes curi dan merusuh. Seorang daripada suspek juga pernah ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Mohamad Farouk, berdasarkan hasil siasatan awal, dua kumpulan ini terlibat dalam pergaduhan bermula di kawasan Lembah Jaya dan terus membawa ke kawasan tempat tangkapan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah.

Jelasnya, punca kejadian dipercayai akibat perebutan kawasan.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas masih dijalankan.

“Terdapat lima suspek mengalami kecederaan di kepala dan luka di badan dan telah mendapat rawatan pesakit luar manakala seorang lagi telah ditahan wad di Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ujarnya, senjata yang digunakan termasuklah kayu dan topi keledar.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. -SM

P/s : Suara Merdeka adalah sebuah portal yang bergerak atas inisiatif wartawan yang kehilangan pekerjaan. Sekiranya pihak pembaca berkesudian untuk membantu perjuangan kami, sila klik link ini.

(Visited 234 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button