Jenayah

SPRM Melaka tahan dua ketua jabatan, seorang pengarah syarikat

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan dua ketua jabatan Persekutuan dan seorang pengarah syarikat selepas dipercayai membuat tuntutan palsu program anjuran jabatan tahun lalu.

Kesemua suspek berusia awal 40-an itu ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka di Alai dekat sini.

Menurut sumber, dua ketua jabatan seorang lelaki dan wanita dipercayai menggunakan dokumen invois apabila membuat tuntutan palsu pembayaran program jabatan tahun lalu berjumlah kira-kira RM24,900.

Katanya, dua suspek itu dipercayai menjadi perancang utama dan berkomplot dengan seorang pengarah syarikat menggunakan invois yang mengandungi butiran palsu.

“Invois tersebut berkaitan tuntutan pembekalan sedangkan tuntutan itu tidak pernah dilaksanakan bagi program yang dianjurkan tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, salah seorang suspek turut disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah kira-kira RM6,000 kepada jabatannya.

Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tig suspek tersebut.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa penjawat awam jabatan berkenaaan untuk memberi keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan permohonan reman kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh esok. – SM

BACA SPRM tahan CEO palsu dokumen jual dua kenderaan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button