Nasional

12th TSM Golf Challenge, sesi latihan bermula

SESI latihan bagi kejohanan “12TH TSM GOLF CHALLENGE” bermula hari ini di West Course, KLGCC. Permulaan sesi tersebut juga bermaksud bermulanya
kejohanan untuk edisi kali ini.

71 dari 86 pemain yang telah mendaftar untuk bermain hadir untuk melihat dah
merasa keindahan yang ditawarkan oleh padang permainan iaitu West Course.

Antara yang dilihat hadir adalah pemenang kejohanan kategori Wanita dan Lelaki, Winnie Ng dan Rhaasrikanesh Kanavathi. Kebanyakkan yang hadir juga dilihat teruja dan penuh bersemangat kesukanan.

Winnie yang baru pulang ke tanah air dari Amerika Syarikat, menyatakan bahawa beliau bersemangat namun tidak terlalu menaruh harapan untuk memenangi kejohanan ini buat kali kedua.

Beliau juga kini sedang berehat setelah selesai bermain golf litar kolej di Amerika.

Geran yang diterimanya ketika menjuarai kejohanan edisi ke 11 pada tahun 2019, telah membantu beliau menyertai lebih banyak kejohanan.

Selain dari itu, membantu membiayai penerbangannya ke Amerika dan sedikit sebanyak membantu dalam biaya hidup di sana.

Rhaasrikanesh Kanavathi yang baru pulang dari kejayaannya merangkul pingat emas Golf Berpasukan di Kejohanan Sukan SEA Hanoi baru-baru ini, berhasrat untuk bermain bersungguh-sungguh demi kejohanan yang banyak membantunya dalam perkembangan kariernya.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau terhutang budi dengan kejohanan yang telah memberinya peluang ketika beliau bermula.

Turut bersama Rhaasrikanesh adalah Marcus Lim, seorang lagi pemain negara yang bersamanya di Hanoi.

Pemain-pemain muda tersebut juga sempat bertemu dan beramah mesra dengan Pengasas ‘Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation’ (TSMCG) , Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang hadir untuk memeriahkan majlis.

Tan Sri Muhyiddin menyatakan keyakinan beliau bahawa ramai lagi anak-anak muda Malaysia akan bertukar kepada status pemain professional dengan peluang yang diberikan oleh kejohanan tersebut.

Beliau juga menyeru agar lebih banyak organisasi berkaitan golf di negara ini bekerjasama untuk mengangkat status pemain-pemain Malaysia di persada dunia.

Turut hadir pada sesi tersebut ialah Pengerusi Kejohanan Datuk Wan Shalihuddin Wan Ibrahim, Ahli Majlis, TSMCG Dato’ Sri Muhammad Adlan Berhan, dan pegawai-pegawai dari Malaysian Golf Association (MGA).

Sesi Latihan tamat pada jam 3 petang, disusuli dengan taklimat kepada pemain oleh Pengerusi Kejohanan ‘12th TSM Golf Challenge’, Datuk Wan Shalihuddin Wan Ibrahim.

Di dalam taklimatnya, beliau menyeru pemain-pemain untuk mengikuti semua peraturan permainan dan bermain dalam semangat kesukanan yang tinggi.

Beliau turut dibantu, Pengarah Kejohanan, Azmi Jusoh dan barisan pengadil dari MGA.

 

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button