Nasional

1158 pelajar diploma UPSI mendaftar esok

Seramai 1158 pelajar diploma akan mendaftar besok bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023.

Prof Madya Dr Norkhalid Salimin ( berdiri kiri) bersama Rakan Suai Kenal ( RSK) yang membantu menguruskan pendaftaran pelajar baharu diploma UPSI

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu yang berjaya diterima masuk ke UPSI.

“Saya berharap pelajar sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan kampus dan membina kecemerlangan diri demi kecemerlangan universiti,” katanya.

UPSI, katanya, sebuah universiti nombor satu pendidikan yang termasyhur dan memiliki latar sejarah yang menarik dan panjang sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang mula beroperasi tahun 1922.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata pada semester ini semua pelajar akan mengikuti pengajian secara bersemuka.


Beliau berkata kesemua pelajar akan ditempatkan di Kolej Awang Had Salleh, Kampus Sultan Azlan Shah , Proton City , kira-kira 10 kilometer dari pekan Tanjung Malim.

“ Proses pendaftaran akan berlangsung akan diadakan di Dewan Kolej Ungku Omar yang terletak bersebelahan dengan kolej penginapan pelajar iaitu Kolej Awang Had Salleh, “ katanya.

Dr Norkhalid menasihatkan ibu bapa yang datang menghantar anak-anak tidak bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka kerana Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan memastikan kebajikan pelajar terjaga.

Tentang harga makanan di kafetaria kolej kediaman juga, katanya, tidak perlu bimbang kerana UPSI bersama dengan kafetaria bersepakat menyediakan Menu Keluarga Malaysia dengan harga pakej RM3.50 di semua 23 kafetaria.

“Alhamdulillah, semua kafetaria akan bersama universiti mengambil berat soal kebajikan pelajar supaya pelajar dan ibu bapa tidak terasa terbeban menanggung kos pengajian,” katanya.

UPSI, katanya, memiliki segala kemudahan termasuk kolej kediaman yang kondusif selain suasana kampus yang menarik dan cantik yang sesuai untuk mengikuti pengajian.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya dan selamat mengikuti pengajian sambil menjaga nama baik universiti pendidikan yang tersohor ini,” katanya.

Pelajar baharu diploma akan mengikuti 12 program pengajian di tujuh fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Fakulti Sains dan Matematik serta Fakulti Sains Sukan dan Sains Kejurulatihan.
Pada sebelah malamnya besok, Dr Norkhalid akan menyampaikan taklimat untuk pelajar baharu di Dewan Tuanku Canselor agar mereka memahami kehidupan baharu di universiti selepas meninggalkan alam persekolahan.

Menurut beliau pentadbiran Kolej Awang Had Salleh diketuai pengetuanya, Dr Mohd Fadhil Abdullah bersama felo dan 31 ahli Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Had Salleh (MMKAHS) sudah bersedia menyambut kehadiran pelajar diploma.

 

(Visited 107 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button